fbpx

Pengaruh artis berkempen dalam pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Adi Putra, Adam Corrie dan Ahmad Idham.
NOR ERYANI,
WARTAWAN EKSEKUTIF

TIDAK dinafikan, bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dihangatkan dengan pengaruh daripada individu ternama dan berpengaruh antaranya golongan selebriti.

Atas dasar mempunyai nama, populariti dan dikenali ramai membuatkan kumpulan tersebut sering diburu parti politik untuk menyertai kempen pada pilihan raya.

Tidak terkecuali, pelakon luar negara juga semakin ramai menceburkan diri dalam dunia politik misalnya Dwayne Johnsons yang meluahkan hasrat mahu bertanding sebagai calon Presiden Amerika Syarikat (AS) pada tahun lalu.

Negara jiran, Indonesia juga sama kencang menyaksikan ramai artis popular di sana mula beralih angin dengan menyertai politik antaranya vokalis Dewa 19, Ahmad Dhani, Kris Dayanti, Pasha Ungu dan Mulan Jameela.

Sama halnya yang dilalui selebriti tempatan contohnya yang terkini iaitu pelakon Adam Corrie yang mendedahkan beliau telah dihubungi banyak parti politik yang mengajaknya menyertai kempen mereka.

Tegas pelakon berusia 54 tahun itu, dia bagaimanapun enggan terlibat dengan dunia politik. Prinsipnya cukup ringkas iaitu mahu menjadi rakyat biasa sama seperti orang lain.

“Masing-masing ada hak menyertai politik, tetapi tidak bagi saya sebab saya tidak pandai (berpolitik) dan tak selesa.

“Kalau masuk politik, seseorang itu perlu ada ilmu, akhlak yang baik dan jiwa pemimpin yang baik. Saya tiada ciri-ciri tersebut,” katanya.

Membincangkan tentang si­tuasi selebriti yang menyertai dunia politik, masyarakat pasti mengetahui ramai nama popular kini mengalih perhatian mereka ke arah bidang tersebut.

Pun begitu, sejauh mana pe­ngaruh golongan selebriti dan mampukah mereka membantu sepanjang kempen lebih-lebih lagi pada PRU15 pada 19 November ini.

Menurut Adam, beliau menga­kui, pengaruh dimiliki seseorang artis selalu ditagih pihak-pihak tertentu demi menjadikan parti mereka mendapat kelebihan sekali gus meraih sokongan orang ramai.

Bagaimanapun, ujarnya, jika menggunakan elemen populariti nama-nama besar seperti artis dalam kempen pilihan raya dan ia disertakan dengan niat kerana Allah SWT, tiada apa yang perlu digusarkan.

Malah, Adam menegaskan, tiada keperluan untuk mem­benci atau menyekat hasrat mana-­mana rakan dalam industri hiburan yang berminat ke arah itu kerana apa yang dilakukan adalah hak masing-masing.

“Saya sendiri tak pasti apa tujuan mereka (cari artis untuk berkempen) tetapi kalau niat tersebut kerana Allah, insya-­Allah semuanya okey.

“Tetapi jika ada selebriti yang menyertai politik, hak masing-masinglah. Saya tidak boleh halang orang untuk sertai politik.

“Cuma harapan saya dan rakyat lain di luar sana mahukan perkara yang sama iaitu cari pemimpin yang baik dan adil. Itu sahaja,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI