KERAJAAN pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sangat jauh berbeza. 22 bulan pertama berada di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum disambung selama 17 bulan oleh pentadbiran Perikatan Nasional (PN).
Turunnya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri membuka ruang kepada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk diangkat sebagai pemimpin No. 1 Kerajaan Persekutuan.
Berubah tampuk kepimpinan sebanyak tiga kali bermakna bertukarlah juga senarai barisan jemaah menteri. Mungkin ada yang kekal terutama ketika era Muhyiddin dan Ismail Sabri memerintah.
Sebagai contoh, ketika zaman PH menjadi kerajaan, Maszlee Malik dilantik sebagai Menteri Pendidikan sebelum digantikan oleh Datuk Dr. Radzi Jidin di bawah era Muhyiddin dan Ismail Sabri.
Begitu juga bagi jawatan Menteri Kewangan. Sebaik kerajaan terbentuk selepas PRU14, Lim Guan Eng dilantik memegang portfolio penting itu. Beliau kemudian digantikan oleh Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu misalnya pernah menjadi Menteri Pertahanan sebelum Ismail Sabri mengambil alih dan kemudiannya diambil alih Datuk Seri Hishamuddin Hussien.
Contoh-contoh ini menunjukkan betapa selama empat tahun kebelakangan ini, Malaysia telah ditadbir oleh ramai ahli politik berpengaruh.
Ini secara tidak langsung memberi pengalaman berharga buat lebih 1.6 juta penjawat awam di seluruh negara. Mereka telah melalui fasa perkhidmatan di bawah tiga Perdana Menteri dan berpuluh-puluh lagi menteri pelbagai parti hanya dalam satu penggal pentadbiran.
Namun, parti apapun yang memerintah, tanggungjawab kakitangan awam ini tidak pernah berubah.
Prinsip setia kepada kerajaan pemerintah terus dipertahankan. Tidak kira siapa yang memegang portfolio kementerian, baik dari Barisan Nasional (BN) ataupun Pas, sama ada Bersatu dan DAP, mereka akan kekal memegang amanah yang diberikan.
Kini, kurang tiga minggu sebelum hari pengundian bagi PRU15 satu lagi tanggungjawab besar dipikul oleh kumpulan penjawat awam ini.
Mereka sama seperti 20 juta lagi rakyat Malaysia yang layak akan diberikan peluang untuk memilih kerajaan baharu.
Tidak kira mereka sebagai penjawat awam bergred 52 dan 41, ataupun kumpulan pekerja am rendah, nilai undi yang diberikan adalah sama.
Persoalan kini, siapa sebenarnya pilihan kumpulan penjawat awam ini? Adakah mereka cenderung memilih mengikut parti yang diwakili oleh ‘Menteri’ sedia ada ataupun mereka lebih selesa mencari angin baharu memilih pemimpin lain.
Seperti kata penulis buku Barat, George E. M. Kelly, ingatlah perbezaan antara bos dan pemimpin, bos akan berkata ‘kerjakan!’, sedangkan pemimpin berkata ‘mari kerjakan!’.
Tepuk dada tanya selera. Pilihan di tangan anda.