fbpx

PRU15: Jumlah pengundi Selangor meningkat lebih 1.26 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian petugas media mengikuti proses simulasi hari pengundian PRU15 semasa taklimat media berhubung PRU15 di Selangor.

SHAH ALAM – Jumlah pengundi berdaftar di Selangor meningkat lebih 1.26 juta atau 52.28 peratus bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Timbalan Pengarah Pejabat Pilihan Raya Selangor, Kamarul Azman Ahmad Sabri berkata, berdasarkan rekod mendapati jumlah keseluruhan pemilih pada PRU15 adalah seramai 3,677,848 berbanding pada PRU14 hanya 2,415,074.

Katanya, peningkatan jumlah pengundi ini didorong dengan pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik.

Menurut beliau, dari segi pecahan kesemua pengundi bagi PRU15 adalah jumlah pengundi biasa melibatkan 3,652,790 dan jumlah pengundi awal bagi tentera (7,468) manakala polis (16,779) serta di luar negara (811).

“Pengundi paling tinggi pada PRU15 adalah Parlimen Bangi dengan seramai 303,430 diikuti Kota Raja (244,712) dan Subang (230,940) manakala terendah adalah Sabak Bernam (51,609).

“Berdasarkan statistik, seramai 1,824,683 adalah pengundi lelaki manakala 1,853,165 adalah pemilih berdaftar perempuan,” katanya ketika ditemui selepas taklimat media berhubung PRU15 di sini, hari ini.

Menurut beliau, jumlah pengundi paling ramai adalah bagi kategori umur 21 hingga 59 tahun yang menyumbang 76 peratus atau 2,805, 596 diikuti warga emas berusia 60 tahun ke atas dengan 598,549 dan belia berusia 18 hingga 20 tahun berjumlah 273,703.

Kamarul Azman turut menjelaskan seramai 56,707 petugas SPR dalam PRU15 di Selangor kali ini dengan 974 pusat pengundi dibuka termasuk 51 pusat pengundi awal.

Selain itu, 6,219 saluran tempat mengundi dan sejumlah 22,003 botol dakwat disediakan untuk pilihan raya.

“Kita juga ingin memaklumkan bahawa empat pusat mengundi iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Cempaka, Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bukit Ijok, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina(SJKC) Bukit Fraser, Balai Raya Lubuk Jaya beroperasi bermula pukul 8pagi hingga 2 petang.

“Sementara, empat pusat mengundi lain iaitu SJKT Ladang Sabak Bernam, SJKT Ladang Mary dan SJKT Selangor River serta SK Seri Gambut Tanjong Karang pula beroperasi antara pukul 8pagi hingga 4 petang. Kesemua ini melibatkan Parlimen Sabak Bernam, Hulu Selangor, Tanjong Karang dan Kuala Selangor,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI