PUTRAJAYA- Penduduk diminta untuk terus berwaspada susulan negara sedang berdepan gelombang kecil Covid-19 membabitkan sub-varian Omicron XBB.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini terdapat empat kes XBB terdiri daripada tiga lelaki dan seorang wanita yang berusia 25 hingga 51 tahun dari Selangor dan Negeri Sembilan.
Menurut beliau, kleempat-empat kes itu merupakan kategori dua membabitkan warga tempatan yang dikesan positif Covid-19 melalui survelan penjujukan genom.
“Dalam erti kata lain, (negara) sedang berdepan dengan gelombang kecil, tak pasti sama ada gelombang ini akan menjadi besar. Itu bergantung kepada tindakan komuniti dalam tempoh masa seminggu dua ini.
“Dari segi kesan atau keseriusan, kita mendapati buat masa ini tidaklah menunjukkan sesuatu yang membimbangkan cuma Kementerian Kesihatan (KKM) ambil maklum mengenai trend yang sedang meningkat ini,” katanya pada sidang akhbar perkembangan Covid-19 di sini hari ini.
Menurut beliau, KKM menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dan berwaspada lebih-lebih lagi semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
“Pada Minggu Epidemiologi (ME) 43/2022 bermula 23 Oktober sehingga kelmarin, bilangan kes baharu Covid-19 meningkat 16.5 peratus dari 14,525 kes (ME 42/2022) kepada 16,917 kes.
“Gelombang jangkitan, bilangan kes akan pasang surut beberapa minggu akan datang mungkin akan meningkat malangnya ‘timing’ serentak dengan PRU15 sebab itu saya buat keputusan untuk memberi nasihat kepada orang ramai mengenai trend kes yang semakin meningkat,” jelasnya.
Jelas beliau, pemakaian pelitup muka pula adalah tidak diwajibkan, tetapi digalakkan di kawasan tertutup atau sesak.
“Saya mengesyorkan pelitup muka dipakai di kawasan tertutup terutama bagi mereka yang berusia 50 tahun dan ke atas, mempunyai masalah penyakit kronik atau imun,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE