SHAH ALAM – Tersungkur pada konsert minggu ketujuh, penyanyi Tom menyifatkan episod kegagalan mara ke final Gegar Vaganza musim kesembilan (GV8) tetap terkandung hikmah tersembunyi apabila bakal bertemu buat kali pertama dengan anak sulungnya selepas terpisah selama lapan tahun.
Tom atau nama sebenarnya, Raja Farah Afzal Raja Ikram mendedahkan, sudah lama dia teringin bertemu dengan anaknya yang bernama Megat Ariel Shakur di Johor Bahru namun berdepan kekangan yang tidak dapat dielakkan.
“Sudah banyak kali sebenarnya saya manhu cari dia (anak). Boleh saja pergi sana (Johor Bahru) tapi ada benda yang tidak dapat dielakkan.
“Selepas saya bertanding dalam GV9 mula-mula dulu, terus saya dapat pesanan daripada dia berbunyi ‘mama, good luck’,” katanya kepada Kosmo! Online malam tadi.
Kata Tom yang menyambut hari ulang tahun kelahiran yang ke-35 hari ini, sekiranya ada rezeki terus kekal bertanding dalam GV9, anak pertamanya itu berhasrat mahu hadir ke menyaksikan persembahannya secara langsung, sekali gus bertemu melepaskan kerinduan.
Hasrat tersebut bagaimanapun tidak kesampaian apabila Tom tersingkir pada konsert minggu ketujuh.
“Kalau ikutan minggu depan, kira kali pertama saya akan tengok wajah anak sulung selepas kali terakhir bertemu semasa usia dia lima tahun.
“Sekarang usia dia sudah 14 tahun. Suara pun dah berubah. Sebelum ini saya ada hubungi dia tapi dia segan nak hubungi saya balik.
“Insya-Allah, esok lusa saya akan ke JB nak cari dia. Sekarang dia tinggal di sana dengan bekas suami. Mereka orang baik-baik dan kini rasanya semua suah matang,” ujar Tom.
Ditanya tentang status hak penjagaan anak, jawab Tom tenang: “Sulit untuk saya ceritakan tapi yang pasti, hak penjagaan anak bukan atas saya.”
Terdahulu, Tom menamatkan zaman gadisnya pada usia yang cukup muda iaitu 21 tahun dengan mengahwini seorang pemuda asal Johor, Mohd. Farhan, pada tahun 2007.
Mereka dikurniakan seorang cahaya mata bernama Megat Ariel Shakur Mohd. Farhan. Jodoh mereka tidak berkekalan apabila bercerai pada April 2010.
Pada 2012, Tom berkahwin kali kedua dengan pemuzik, Ahmad Khairul Mizan dan hasil perkahwinan, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Putera Adler Iesta, 9, dan Putera Evans Ezra, 7.
Bagaimanapun, perkahwinan kedua terebut berakhir dengan perceraian.
Pada 2016, Tom kembali berumah tangga dan berkahwin dengan pemuzik, Eme Termizie Kaha namun berakhir dengan perpisahan. – KOSMO! ONLINE