ALOR GAJAH – Sebuah bas ekspres yang membawa seramai 20 penumpang terbalik dalam nahas di Kilometer 193.2 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah selatan) di sini, hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, kesemua penumpang dan seorang pemandu bas berusia 29 tahun bagaimanapun dilaporkan selamat.
Komander operasi Pegawai Bomba Kanan (PBK) ll Mohd. Iswandy Aripin berkata, panggilan kecemasan diterima pada pukul 9.38 pagi.
Katanya, sepasukan 21 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ayer Keroh serta Alor Gajah dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kita dapati kesemua penumpang telah pun berjaya keluar menyelamatkan diri masing-masing.
“Bas tersebut membawa seramai empat penumpang wanita dan 17 lelaki termasuk seorang pemandu berusia 29 tahun,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.
Ujarnya, bas tersebut dikatakan dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Batu Pahat, Johor.
“Bas itu bagaimanapun telah terbabas di bahu jalan dalam keadaan terbalik di bahagian sisi kirinya.
“Setelah memastikan semua mangsa dan keadaan selamat, jentera serta anggota bertolak semula balik ke balai,” katanya. – KOSMO! ONLINE