PETALING JAYA – Majoriti dalam kalangan kita pernah mengalami mimpi ngeri dan pelik seperti dihempap batu besar, ditimbus timbunan pasir, siling rumah menjadi tinggi atau ruang rumah semakin membesar.
Situasi di atas yang dipanggil ‘mimpi demam’ seperti yang dikongsikan oleh Public Health Malaysia (PHM) itu, dikatakan boleh berlaku apabila suhu badan meningkat.
“Individu yang mengalami mimpi demam biasanya menggambarkan ia sebagai pengalaman yang mengganggu dengan emosi, kuat, pelik dan menakutkan sehingga meracau dalam tidur,” katanya.
Katanya, punca sebenar ia berlaku masih tidak diketahui namun terdapat beberapa hipotesis yang boleh dikaitkan.
“Salah satunya ialah suhu tinggi mungkin mengganggu proses kognitif normal otak.
“Semasa peringkat REM tidur di mana kebanyakan mimpi berlaku, badan mengalami kesukaran untuk mengawal suhu dalaman.
“Maka peningkatan suhu badan membawa kepada mimpi yang tidak menyenangkan,” jelasnya.
Menurut PHM lagi, walaupun tiada jaminan mimpi demam boleh dielakkan sepenuhnya, namun merawat demam boleh membantu mengawal mimpi buruk tersebut. – KOSMO! ONLINE