fbpx

Doktor pakar Sri Lanka ‘lari’ ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pelajar Sarjana Muda Perubatan mendengar taklimat pakar di Unit Perubatan Nuklear Peradeniya di Wilayah Tengah Sri Lanka. - L. Potterton/IAEA

COLOMBO – Kerajaan Sri Lanka berdepan kehilangan tunjang sektor kesihatan apabila pakar-pakar dilaporkan mula melakukan penghijrahan ke Benua Asia Barat dan negara-negara Barat bagi mencari lebih banyak peluang pekerjaan dengan bayaran lumayan, lapor akhbar Arab News kelmarin.

Pakar-pakar perubatan di negara yang bergantung kepada ubat import untuk kira-kira 85 peratus daripada keperluan farmaseutikalnya telah memberi amaran sejak berbulan-bulan lalu mengenai pergelutan mereka memberi rawatan tepat dan mencukupi kepada pesakit.

Situasi pekerjaan yang semakin meruncing dan harapan yang semakin pudar untuk proses membaik pulih negara memaksa beratus-ratus pakar perubatan berhijrah ke luar negara.

Menurut Biro Pekerjaan Asing Sri Lanka, penghijrahan golongan profesional adalah trend yang semakin meningkat.

“Terdapat trend peningkatan dalam kalangan profesional yang berpindah keluar dari pulau itu untuk mencari peluang pekerjaan di negara maju kerana keadaan semasa di Sri Lanka,” kata Pengurus Besar Biro, Priyantha Senanayake.

Data daripada Persatuan Pegawai Perubatan Kerajaan menunjukkan bahawa sekurang-kurangnya 500 doktor daripada institusi perubatan telah berhijrah ke luar negara dalam tempoh lapan bulan pertama 2022.

Namun apa yang membimbangkan adalah bilangan sebenar mungkin lebih tinggi. 

Bekas Presiden Persatuan Perubatan Sri Lanka, Dr. Ruvaiz Haniffa berkata, sekurang-kurangnya 100 lagi doktor yang bekerja di sektor swasta juga telah meninggalkan negara itu manakala mereka yang melakukan latihan perubatan luar negara dan tidak bercadang untuk pulang masih belum dikira.

“Bagi pelajar perubatan pengajian pascasiswazah, mereka kebanyakannya pergi ke Australia, New Zealand dan Singapura. Doktor gred pertengahan kebanyakannya pergi mencari pekerjaan ke negara-negara di Asia Barat terutamanya Oman dan Emiriyah Arab Bersatu (UAE),” jelas Ruvaiz.

Tambah beliau, kerajaan tidak berupaya untuk menghalang tindakan tersebut kerana kekurangan dana serta bajet bagi mengatasi tawaran gaji lumayan di luar negara. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI