BAGI menarik minat serta meningkatkan nilai tambah golongan istimewa dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) dan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Pertandingan Reka Bentuk Bot Banjir Mesra Orang Kelainan Upaya (OKU).
Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Majlis Bandaraya Negeri Johor, Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Persatuan STEM Negeri Johor dan Persatuan Pendidikan Sains dan Matematik Johor.
Dianjurkan pada 15 Oktober lalu di Perpustakaan Sultan Ismail, program julung kali diadakan itu melibatkan penyertaan murid-murid dari beberapa buah sekolah rendah di Johor.
Pengarah program yang juga merupakan Pensyarah Kanan FSSH, Dr. Corrienna Abdul Talib berkata, objektif pertandingan tersebut adalah untuk meningkatkan kesedaran terhadap keperluan golongan OKU ketika banjir.
Katanya, para pelajar berkenaan juga boleh mengaplikasikan konsep keapungan dan ketumpatan yang telah dipelajari semasa pertandingan itu.
“Pertandingan ini diadakan susulan perkongsian ilmu oleh Dr. Nik Mohd Ridzuan Shaharuddin serta Dr. Muhammed Amirul Asyraf Hasnan yang merupakan Pensyarah Kanan Seni Bina Kapal dan Kejuruteraan Luar Pantai, FKM.
“Pertandingan ini juga merupakan salah satu strategi bagi mempromosi program Seni Bina Kapal dan Kejuruteraan Luar Pantai yang ditawarkan FKM di bawah Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera,” katanya.
Seramai tiga orang pelajar pasca siswazah dan tiga pelatih terlibat dalam penganjuran pertandingan itu.
Dalam pertandingan tersebut, Nik Mohd Ridzuan yang merupakan Ketua Projek Geran KTPRIG/2021/00038 turut menyampaikan taklimat kepada guru-guru sekolah rendah berkaitan cara mereka bentuk bot dan penerangan tentang peraturan pertandingan.
Dalam pertandingan itu, para peserta dinilai berdasarkan video berdurasi tiga minit yang dihasilkan, pembentangan secara fizikal dan penilaian bot banjir mesra OKU yang dibina.
Proses penilaian pertandingan diketuai oleh Dr. Arifah Ali daripada FKM.
Majlis perasmian dan penutupan program telah disempurnakan oleh Penyelaras STEM Negeri Johor, Junit Yasir.
Pertandingan tersebut dimenangi oleh Sekolah Kebangsaan LKTP Layang-Layang, manakala tempat kedua diraih Sekolah Kebangsaan Taman Kota Kulai 2.
“Berdasarkan maklum balas diterima daripada guru dan murid yang menyertai pertandingan itu, terdapat peningkatan dalam aspek sikap dan pengetahuan selepas pertandingan dijalankan.
“Dapat dirumuskan bahawa kesedaran terhadap golongan yang berkeperluan khas dan motivasi untuk membantu insan memerlukan bantuan semakin meningkat.
“Peserta juga lebih berkeyakinan dan seronok menyertai pertandingan ini. Tambahan pula, terdapat peningkatan dalam pengetahuan STEM dan pengendalian bot penyelamat OKU semasa banjir,” ujarnya.
Pertandingan itu turut memberikan impak positif kerana mampu meningkatkan pelbagai kemahiran pelajar seperti kreativiti saintifik, komunikasi dan penyelesaian masalah.
Bukan itu sahaja, para guru dan pelajar juga mendapat pengalaman baru sewaktu menyertai aktiviti berkenaan, sekali gus menambah minat mereka terhadap STEM.