KUALA NERUS – Bekas pemimpin Pas, Datuk Mohd. Khairuddin Aman Razali menyeru ahli dan penyokong parti tersebut mengundi Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Penyandang kerusi Parlimen Kuala Nerus berkata, tindakan itu penting bagi menyekat kemenangan Pakatan Harapan (PH) yang didakwa bakal memberi lebih kemudaratan terhadap negara.
“Tidak perlu sampai keluar Pas, kekal sahaja cuma untuk PRU15 nanti, undi calon-calon BN untuk kemenangan.
“Buat masa sekarang, hanya BN yang mampu menyekat kemaraan PH dalam PRU15 pada 19 November depan,” katanya ketika menghadiri program Bersama Veteran UMNO anjuran Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman di sini hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, Perikatan Nasional (PN) tidak mampu menewaskan PH, malah undi yang akan diberikan kepada gabungan itu hanya akan memecahkan undi sepatutnya diterima BN.
Beliau yang mengisytihar berhenti daripada Pas pada awal tahun ini menjelaskan PN terlalu bergantung kepada kekuatan Pas yang memiliki satu juta ahli.
“Matlamat menghalang kemaraan PH sepatutnya dilakukan menerusi Muafakat Nasional (MN) dengan gabungan 4.4 juta ahli termasuk 3.4 juta dimiliki UMNO, namun ia tidak berlaku.
“Maka kena sokong yang ahlinya 3.4 juta untuk halang mudarat PH, jangan sokong yang ahli satu juta campur entah berapa daripada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia),” katanya.
Mohd. Khairuddin menegaskan beliau berhak bercakap tentang MN kerana terlibat secara langsung dalam proses merealisasikan penyatuan dua parti Melayu Islam terbesar negara itu sejak awal lagi iaitu sebelum BN tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). – KOSMO! ONLINE