fbpx

PRU15: Calon tempatan lebih dekat di hati pengundi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan
ALWANI ZAFIRAH KHAIRUL,
WARTAWAN EKSEKUTIF

SESEBUAH kerajaan yang berjaya pastinya diterajui pemimpin atau ketua yang memiliki visi, misi dan objektif jelas demi memastikan keharmonian serta kemajuan dapat dicapai.

Perkara itu penting untuk dilihat rakyat terutama dalam memilih calon pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menjelang 5 November ini, pelbagai calon akan tampil untuk bertanding dan menjadi tanggungjawab rakyat untuk menyemak latar belakang mereka yang tersenarai.

Pemimpin yang hanya berorentasikan kepentingan diri tidak layak diundi kerana tujuan mereka untuk mencari ‘duit poket’ semata-mata.

Perkara ini dapat dilihat apabila ada yang terpalit dengan salah laku termasuk salah guna kuasa.

Profesor Politik dan Hubu­ngan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof. Dr. Mohd. Azizuddin Mohd. Sani berkata, ciri-ciri utama yang perlu ada pada setiap calon yang bertan­ding adalah berintegriti.

“Mereka (calon) yang sesuai dipilih sebagai pemimpin adalah yang statusnya bersih, tidak terpalit dengan kes di mahkamah serta sebarang isu berbangkit.

“Bagi calon yang ada masalah mereka tidak seharusnya dipilih kerana hanya akan menyumbang kepada politik tidak sihat,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Mohd. Azizuddin memberitahu, karakter seseorang calon itu perlu dilihat dan diteliti dengan betul sebelum rakyat membuat keputusan untuk memilih mereka pada PRU15.

“Jika tersilap memilih calon yang tidak boleh buat kerja, ha­nya bangga dengan jawatan sahaja, kita yang akan merana.

“Mereka (calon) yang hanya mempunyai kepentingan diri sendiri dan parti semata-mata dan tidak menumpukan hal-hal kebajikan rakyat, pembangunan negara, rakyat harus memastikan nama mereka tidak ada dalam senarai kepimpinan pada masa akan datang,” katanya.

Dalam perkembangan lain, bagi pemilihan calon Perdana Menteri pula, Mohd. Azizuddin mencadangkan agar calon tersebut mestilah seorang yang berilmu terutama dalam merangka strategi pembangunan negara selain mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan negara-negara luar.

“Calon itu seharusnya calon pilihan rakyat agar kepuasan berada di bawah kepimpinan Perdana Menteri ke-10 ini lebih menyatukan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia serta tidak timbul sebarang kejadian tunjuk perasaan yang ingin menjatuhkan pemimpin sendiri.

“Jika ingin memilih calon biasa mereka yang sebaik-baiknya merupakan calon tempatan yang lahir di kawasan tersebut.

“Ini kerana mereka lebih kenal apa yang perlu dan tidak perlu di kawasan pentadbirannya serta lebih dekat dengan masyarakat setempat,” ujarnya.

Selain itu, jelas beliau, peluang untuk mereka menang di kawasan sendiri adalah lebih tinggi berbanding calon yang bertan­ding di tempat orang lain.

“Misalnya, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahu bertanding di Parlimen Tambun berada kategori lain, kerana beliau bukan anak tempatan, mungkin penduduk setempat tidak biasa dengan hasil kerjanya,” ujarnya.

Mohd. Azizuddin mengingatkan bahawa pemimpin berjaya adalah pemimpin yang mampu memenuhi kebajikan rakyatnya dan dapat membawa nama Malaysia sebagai negara yang memiliki kestabilan politik cemerlang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI