fbpx

Ringgit mengalir bagai kepala air ke Thailand

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Ketika kita sibuk memberi fokus kepada Pilihan Raya Umum Ke-15, Thailand sedang menari apabila Ringgit Malaysia (RM) mengalir masuk ke negara itu bagai arus sungai yang dilanda kepala air.

Rakyat bagaikan dirasuk apabila berbondong-bondong berkunjung ke sana sehingga dilaporkan 26.6 bilion Baht dibelanjakan rakyat Malaysia dari Januari hingga 7 Oktober lalu.

Apa yang membuatkan Thailand semakin digemari oleh 1.8 juta rakyat Malaysia agaknya sedangkan keadaannya sama juga seperti kita yang bergelut untuk bangkit semula selepas dilanda Covid-19.

Tidak lama lagi, jumlah itu pasti akan bertambah sekali ganda apabila tiba musim cuti sekolah, Krismas dan Tahun Baharu. Pelancong tidak lagi menjadikan Narathiwat sebagai destinasi pilihan, sebaliknya meneroka sampai ke utara seperti Krabi, Phatthalung, Phuket, Satun, Chiang Mai dan Chiang Rai.

Jika diperhalusi, sebaik dunia berada di hujung serangan pandemik, kerajaan Thailand membuat keputusan luar biasa apabila menghalalkan ganja dan ketum yang diketahui sebagai bahan khayal paling popular dalam kalangan penagih dadah.

Ia mungkin ibarat orang mengantuk disorong bantal oleh sesetengah pihak kerana sebelum ini, mereka terpaksa terbang ke barat terutama Amsterdam untuk menikmati asap berdengung secara terang-terangan.

Jika di Malaysia, mereka perlu mengambilnya secara sembunyi-sembunyi kerana takut diberkas polis seterusnya menghabiskan sisa hidup di sebalik tirai besi. Risikonya sangat besar.

Biarpun mendapat tentangan hebat penduduk dan pertubuhan bukan kerajaan, Thailand enggan berganjak dengan keputusannya kerana di sebalik kemarahan rakyat, mereka sebenarnya sedang membantu rakyat dalam diam.

Perbuatan yang tidak disedari itu kini dihadam perlahan-lahan oleh setiap warganya kerana mungkin baru tersedar bahawa keputusan menghalalkan ganja dan ketum sebenarnya formula pantas untuk merancakkan ekonomi.

Namun, di sebalik semua itu, bagi pihak lain pula Thailand menawan hati pelancong dengan menawarkan pakej menarik selain penginapan selesa pada harga yang berbaloi di samping makanan yang sedap terutamanya tomyam.

Selain itu, pemain industri cakna dengan perkembangan pantas teknologi apabila menggunakan pelbagai aplikasi terkini untuk memudahkan pelanggan membuat tempahan, pembatalan, diskaun dan pelbagai tawaran menarik sekiranya datang secara berkumpulan atau lone ranger.

Kejatuhan nilai mata wang Baht sepanjang tahun ini juga menjadi punca negara itu terus dikunjungi pelancong.

Berdasarkan situasi ini, dapat kita ketahui sebenarnya masih ramai rakyat Malaysia yang mempunyai simpanan kukuh sehingga boleh berbelanja begitu banyak ketika berada di luar negara.

Bukan hendak memenangkan negara orang, cuma kita terfikir jika Thailand mempunyai formula pantas untuk merancakkan ekonomi, mengapa Malaysia masih bergaduh siapa hendak memegang tampuk kuasa?

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI