MEMBACA buku merupakan aktiviti yang sering dilakukan oleh gadis kampus minggu ini, Nurulfatehah Andreana Luqman Haziq setiap kali ada waktu terluang.
Bagi anak kelahiran Negeri Sembilan itu, membaca membolehkan dirinya meluaskan pandangan tentang kehidupan dan memperbaiki diri sebagai seorang insan.
“Membaca membuatkan saya faham bahawa tidak kira apa yang berlaku, buku akan menghiburkan dan membuatkan diri ini tidak pernah keseorangan.
“Perkara yang membuatkan saya ketagih untuk membaca adalah apabila menghayati emosi setiap karakter. Saya ketawa, menangis, berjuang dan membenci bersama watak-watak buku berkenaan.
“Menyelami watak-watak di dalam buku menjadi sesuatu yang menyeronokkan kepada saya. Malah, ada watak-watak ini telah menjadi sebahagian daripada hidup saya,” katanya kepada K2 baru-baru ini.
Menurutnya, dia gemar membaca novel grafik atau fiksyen.
Untuk makluman, gadis berusia 23 tahun itu merupakan penuntut semester ketiga dalam bidang bioperubatan di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) Mestech, Kajang, Selangor.
Bercerita lanjut, anak sulung daripada tiga beradik itu memaklumkan, dia melanjutkan pengajian dalam jurusan bioperubatan kerana tertarik dengan genetik dan organ manusia serta peluang mengambil sampel pesakit,
Maklumnya, dia juga suka berada dan bekerja di dalam makmal.
Katanya, bidang tersebut berjaya mendidik dirinya supaya melakukan setiap proses penyelidikan secara teliti kerana sedikit kesilapan akan menyebabkan keputusan dikeluarkan tidak sah.
“Saya rasa puas hati dan bangga apabila berjaya menjalankan eksperimen dengan sempurna. Pada awalnya, saya menyangka jurusan bioperubatan ini sama dengan perubatan.
“Bagaimanapun, selepas mendalami bidang ini, saya dapati ia lebih meluas dan tidak sedalam kedoktoran. Jadi, ia tidak mengehadkan peluang pekerjaan saya apabila sudah tamat pengajian kelak,” jelasnya.
Berkongsi lanjut, Nurulfatehah Andreana berkata, pada mulanya, dia mengimpikan kerjaya sebagai doktor haiwan kerana dirinya mempunyai soft spot dengan binatang.
Dia memaklumkan, takdir menentukan segalanya dan sudah tertulis rezekinya di dalam bidang bioperubatan.
Biarpun sedikit terkilan kerana tidak dapat bergelar doktor haiwan, namun Nurulfatehah Andreana masih bersyukur dengan peluang diberikan.
Katanya, dia mahu bekerja dalam bidang dipelajari di Singapura, selain menyambung pengajian sehingga doktor falsafah jika masa dan umur mengizinkan.
Nurulfatehah Andreana berkata, dia tidak mempunyai idola khusus, sebaliknya mengagumi setiap individu di sekelilingnya.
“Saya cuba mencontohi kualiti yang ada pada setiap individu. Pada pendapat saya, kita tidak perlu menghadkan diri untuk mengagumi seorang individu sahaja.
“Saya kagum dengan ibu bapa, serta sikap yang dipamerkan oleh rakan-rakan. Ada ramai idola membuatkan saya lebih mudah memperbaiki diri,” ujarnya.
Bercerita lanjut, dia sangat tertarik dengan isu bioperubatan yang sering dibangkitkan dalam etika bidang tersebut.
Kongsinya, pakar perubatan sering berdepan dilema tentang hubungan peribadi dengan pesakit sehingga mempengaruhi keputusan yang dibuat.
“Isu yang sering menjadi tumpuan adalah etika perubatan sama ada berkaitan pendermaan dan pemindahan organ, penyelidikan genetik, kematian serta kebimbangan tentang alam sekitar.
“Walaupun isu ini sering ditekankan, namun masih terdapat masalah di dalam industri kesihatan. Begitupun, kewujudan subjek bioethics di dalam silibus pelajar kesihatan telah berjaya mengurangkan isu ini.
“Subjek ini menerangkan prinsip asas yang perlu dipegang oleh pegawai kesihatan bagi membantu dan membimbing mereka mengenai cara mendekati pesakit.
“Misalnya, sewaktu pegawai kesihatan perlu membuat keputusan sukar seperti kehidupan, kematian dan rawatan diperlukan pesakit,” katanya.