LIVERPOOL – Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp mengakui bahawa para pemainnya gagal mengawal perlawanan ketika tewas 1-2 berdepan Leeds United awal pagi semalam di Anfield.
Kekalahan itu menyaksikan Liverpool ketika ini berada di tangga ke sembilan liga dan ketinggalan 13 mata berbanding pendahulu, Manchester City.
Liverpool terlebih dahulu ketinggalan seawal minit kelima apabila Joe Gomez melakukan kesilapan menghantar bola ke belakang sebelum disambar Rodrigo Moreno yang meletakkan Leeds di hadapan.
Mohamad Salah kemudian meniupkan semangat kebangkitan The Reds menerusi gol penyamaan kira-kira 10 minit kemudian, namun jaringan pada lewat permainan oleh Crysencio Summerville memaksa Liverpool menanggung kekalahan keempat musim ini.
Ia juga menyaksikan Liverpool menanggung kekalahan kedua berturut-turut apabila tewas kepada Nottingham Forest minggu lalu sekali gus menjadi permulaan musim terburuk dilalui Klopp di Anfield.
“Sudah tentu ia satu lagi keputusan yang mengecewakan. Saya fikir kami telah memulakan perlawanan dengan baik, keinginan untuk menang yang tinggi, tetapi kami bolos dengan gol awal seperti itu.
“Kami berjaya menyamakan kedudukan, tetapi ia tidak memberikan kami jaminan. Kami berdepan kesukaran mengawal perlawanan kerana Leeds turun dengan aksi yang pantas menyebabkan kami banyak kehilangan bola.
“Para pemain sudah memberikan segala-galanya. Kami mempunyai beberapa peluang terbaik, namun gagal disudahkan dan kami berharap dapat mempertahankan keputusan 1-1 sekurang-kurangnya.
“Bagaimanapun, ia bukan mudah apabila mereka mendapat peluang dan menyempurnakannya untuk gol kedua. Masalah utama pada aksi kali ini adalah kami tidak berjaya mengawal permainan,” katanya. – AGENSI