GUA MUSANG – Seorang lelaki warga Thailand maut selepas motosikal yang ditunggangnya memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah kereta di Kampung Jerek di sini hari ini.
Dalam kejadian pukul 11.20 pagi itu, mangsa, Afnan Baha, 18, yang tinggal di Kampung Kuala Lah di sini meninggal dunia di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 dari arah Kampung Jerek untuk pulang ke rumahnya di Kampung Kuala Lah.
Katanya, semasa tiba di lokasi kejadian, motosikal mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum memasuki laluan bertentangan.
“Insiden itu menyebabkan motosikal tersebut bertembung dengan sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu seorang lelaki warga emas yang datang dari arah bertentangan.
“Mangsa dipercayai tercampak ke atas cermin hadapan kereta sebelum melambung ke atas jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Choon Foo, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Gua Musang di sini untuk proses bedah siasat.
Katanya, pemandu kereta berusia 72 tahun dan penumpang berusia 49 tahun dari Felda Perasu di sini hanya mengalami cedera ringan.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE