SEPANG – Keputusan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menetapkan calon dan menggugurkan beberapa penyandang Ahli Parlimen bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dibuat melalui proses dan saringan teliti.
Naib Presiden PKR, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemilihan calon itu telah melalui proses ketat bermula daripada cadangan akar umbi, tawaran individu, sistem mesyuarat dan akhirnya diputuskan pucuk pimpinan.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor berkata, calon yang dipilih itu turut mematuhi parameter ditetapkan parti iaitu calon boleh menang (winnable).
“Parti juga perlu melakukan proses rejuvenasi dalam pemilihan calon supaya keadaan lebih menarik dan segar dapat dihasilkan.
“Kita bukan sebuah parti reform (pembaharuan) malah, kita tak mahu pihak menongkat langit dari dulu sampai sekarang di satu-satu tempat kecuali beberapa individu penting seperti Presiden parti,” katanya pada sidang akhbar sempena Jelajah Selangor Penyayang Daerah Sepang, di sini hari ini.
Terdahulu, PKR semalam telah mengumumkan nama 72 calon bagi menghadapi PRU15 termasuk menggugurkan lapan penyandang Ahli Parlimen.
Lapan penyandang berkenaan ialah Natrah Ismail (Sekijang), June Leow (Hulu Selangor), Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya), Sivarasa Rasiah (Sungai Buloh), Tan Yee Kiew (Wangsa Maju), Lee Boon Chye (Gopeng), Chan Ming Kai ( Alor Setar) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani).
Perkara itu mengundang pelbagai reaksi dan kecewa segelintir pihak termasuk bekas Naib Presiden PKR, Tian Chua yang menyifatkan pemilihan calon PKR bagi PRU15 seperti ‘bermain terup’.
Ditanya sama ada perkara itu bakal mengundang kegusaran dalam kalangan ahli parti selain mungkin berdepan kehilangan undi, Amirudin berkata, ia perlu dilihat secara menyeluruh dan kerangka lebih besar demi memastikan parti bergerak ke hadapan.
“Pada 2008, saya adalah calon baharu dan baru berusia 28 tahun. Kalau kita fikir takut hilang undi, kita tidak mungkin dapat mencipta sejarah dan memastikan kemenangan dua pertiga serta merampas Selangor daripada Barisan Nasional (BN),” katanya. – KOSMO! ONLINE