fbpx

[VIDEO] Penduduk Gua Musang gempar lihat gajah betina mandi di Sungai Ketil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahamie Qhodrad menunjukkan lokasi gajah betina yang ditemui sedang mandi dan bermain air di Sungai Ketil, berhampiran PPR Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG – Dua pemancing terkejut melihat seekor gajah betina sedang mandi dan bermain air di Sungai Ketil berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR) Gua Musang di sini petang semalam.

Dalam kejadian pukul 6 petang itu, Fahamie Qhodrad Sibaweh, 30, bersama adik iparnya, Wan Mohd. Haikal Wan Mohd. Zulkifli, 18, pergi ke sungai tersebut untuk memancing.

Menurut Fahamie, dia sempat merakam aksi gajah betina itu sedang mandi dan bermain air di sungai berkenaan. Mereka terkejut kerana haiwan itu muncul di kawasan bandar.

“Sungai ini terletak berhampiran rumah penduduk di tengah bandar Gua Musang dan sering menjadi kawasan rekreasi untuk mandi.

“Kira-kira 50 penduduk PPR Gua Musang yang berada di kawasan berhampiran juga sempat melihat haiwan tersebut,” katanya ketika ditemui hari ini.

Wan Mohd. Haikal pula memberitahu, haiwan liar tersebut berada kira-kira 50 meter dari tempat mereka memancing.

Itu merupakan kali pertama gajah ditemui di sekitar Sungai Ketil berhampiran PPR Gua Musang.

“Gajah itu tiba-tiba muncul tanpa sebarang bunyi. Kami bimbang jika haiwan liar itu berkeliaran di kawasan penempatan. Tidak lama kemudian, gajah itu ingin menuju ke hutan berhampiran, namun berpatah balik ke sungai apabila melihat ramai orang di atas jambatan PPR,” katanya.

Semalam, tular di Facebook dan aplikasi WhatsApp video seorang pemancing merakam kelibat seekor gajah betina di sungai berhampiran PPR Gua Musang.

Gajah itu juga dilihat melintas sungai berkenaan sebelum menghilangkan diri ke kawasan hutan berhampiran. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI