fbpx

UDA baik pulih kediaman asnaf

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHD. SALEM (depan) bersama pengurusan kanan bergotong-royong membantu kerja-kerja membaik pulih kediaman Suhaili di Sekinchan baru-baru ini.

SEKINCHAN – Peneraju pembangunan hartanah, pengurusan aset, fasiliti dan perhotelan, UDA Holdings Berhad (UDA) yang juga agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), sekali lagi mengambil langkah murni dengan membaik pulih kediaman asnaf di sini, baru-baru ini.

Ia merupakan sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) UDA Cares, iaitu Project RE_ (REact, REbuild dan REenergize) yang memfokuskan untuk memberi nilai tambah kepada komuniti setempat di kawasan pembangunan UDA merangkumi tiga elemen utama iaitu komuniti, alam sekitar dan kesihatan.

Peka dan prihatin dengan keadaan rumah Suhaili Saini yang serba kekurangan, UDA menambah baik bahagian dinding, pintu, tingkap, siling, singki beserta table top dan lantai dapur di kediaman beliau dengan peruntukan sebanyak RM15,000. 

KEDIAMAN Suhaili sering dimasuki air hujan akibat kebocoran selain beberapa kali dimasuki pencuri.

Menurut UDA dalam satu kenyataan, pihaknya terpanggil untuk membantu keluarga Suhaili berikutan kediaman mereka sering berdepan masalah kebocoran pada bahagian atap dan dinding, menyebabkan rumah itu dimasuki air ketika hujan, selain turut terdedah dengan ancaman keselamatan setelah beberapa kali dimasuki pencuri.

“Memahami cabaran dan kesulitan yang dihadapi Suhaili yang bekerja sendiri menyara lima orang anaknya yang masih bersekolah, UDA mengambil langkah proaktif dalam memastikan kediaman yang didiami keluarga tersebut berada dalam keadaaan lebih kondusif. 

“Inisiatif tersebut seiring dengan penjenamaan baharu UDA, iaitu ‘LIFE’ yang menterjemahkan komitmen UDA dalam memperkasa gaya hidup lestari dengan mewujudkan persekitaran serta komuniti yang harmoni,” katanya.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkesempatan meninjau perkembangan kerja-kerja baik pulih di kediaman Suhaili sekeluarga pada Jumaat lalu. 

NOH (kiri) bersama Mohd. Salem (dua dari kiri) sempat meninjau kerja-kerja baik pulih kediaman Suhaili.

Kunjungan tersebut diiringi oleh Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Mohd. Salem Kailany.

Mohd. Salem berkata, UDA dengan kerjasama anak syarikatnya, UDA Dayaurus Sdn. Bhd. yang berperanan dalam segmen perniagaan pengurusan fasiliti berusaha mewujudkan kediaman selesa buat Suhaili sekeluarga. 

“UDA selaku salah sebuah agensi di bawah KUSKOP sentiasa mengimbangi peranan syarikat dalam menjalankan perniagaan serta menjana keuntungan, dan dalam masa yang sama turut fokus menyumbang semula kepada masyarakat setempat khususnya golongan memerlukan. 

NOH (tiga dari kanan) menyerahkan replika sumbangan bernilai RM15,000 kepada Suhaili di Tanjung Karang baru-baru ini.

“Semoga bantuan baik pulih rumah ini dapat memberikan keselesaan, seterusnya meningkatkan taraf kehidupan serta mengukir senyuman di wajah penerima,” ujarnya.

Bagi memperkasa program CSR UDA Cares, syarikat telah memperkenalkan empat tonggak utama iaitu UDA Cares Educational, UDA Cares Entrepreneur, UDA Cares Project RE_ dan UDA Cares Enriching Life. 

Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan keluarga Suhaili, beliau boleh dihubungi di talian  017-372 4043.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI