fbpx

PRU15: Orang kampung tidak mahu dengar potong gaji tetapi apa mereka dapat – PM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri (tengah) bersama sebahagian pekebun kecil getah yang menerima pelbagai insentif dan bantuan daripada kerajaan pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan di Bera hari ini.

BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menempelak pembangkang yang membuat pelbagai janji termasuklah mahu memotong gaji dan elaun sekiranya mereka memerintah negara.

Ismail Sabri berkata, hakikatnya orang kampung tidak mahu mendengar soal gaji menteri dan sebagainya sebaliknya mahu tahu apa faedah dan bantuan yang mereka boleh dapat.

“Orang kampung bukan hendak dengar ambil atau tidak ambil gaji tetapi mahu dengar apa yang kerajaan boleh buat dan mendengar kepentingan orang kampung.

“Bukan soal dia dapat gaji tak dapat gaji, kalau dia tidak dapat gaji orang kampung susah harga getah turun kerajaan tak buat apa-apa tidak ada makna,”katanya ketika berucap pada Majlis Pekebun Kecil Makmur Keluarga Malaysia di Padang Awam Kampung Batu Papan di sini hari ini.

Baru-baru ini Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata sedia untuk dipotong gaji dan elaun sebagai Perdana Menteri sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar dilaporkan berkata, perkara itu menjadi tindakan pertama yang akan dilakukannya sebaik diumumkan sebagai Perdana Menteri ke-10.

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, hanya kerajaan Barisan Nasional (BN) yang terbukti mampu mengotakan segala janji yang diberikan bagi membantu rakyat selama ini.

Katanya, rakyat boleh melihat sendiri bagaimana janji-janji yang dibuat pembangkang tidak dapat dikotakan ketika mereka menjadi kerajaan seperti menghapuskan tol, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) percuma dan menurunkan harga minyak.

Beliau memberitahu, kerajaan telah dan terus melakukan pelbagai inisiatif dalam membantu rakyat termasuklah yang dapat dilihat dalam pembentangan Bajet 2023 baru-baru ini.

“Jadi itu yang dijanjikan kerajaan yang kita telah bentang dalam bajet kalau bentang dalam bajet makna duit sudah ada, bukan janji kosong cuma hendak tunggu masa laksanakan selepas kelulusan bajet bila dibentang semula,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI