BANDAR RAYA NEW YORK – Penyanyi rap Amerika Syarikat (AS), Kanye West rugi AS$2 bilion (RM9.4 bilion) selepas hilang kontrak berprofil tinggi selepas dia mengeluarkan komen bersifat anti-Yahudi atau anti-Semitik, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Frasa anti-Semitik dianggap sebagai sikap permusuhan terhadap bangsa Yahudi.
Bekas suami Kim Kardashian itu kembali aktif di laman Instagram Khamis lalu selepas akaunnya disekat awal bulan ini.
West menegaskan bahawa dia tidak gilakan wang ketika menujukan pesanan kepada Ari Emanuel yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif agensi hiburan utama Hollywood, Endeavor.
Emanuel menggesa jenama-jenama mewah supaya tidak lagi berurusan dengan West.
“Ari Emanuel, saya kehilangan AS$2 bilion dalam masa satu hari dan saya tetap hidup. Ini adalah ucapan cinta.
“Wang tidak menggambarkan siapa saya. Peminat yang membentuk siapa saya,” tulisnya di laman Instagram.
Pada minggu lalu, Emanuel berkata, tiada maaf kepada selebriti yang menyebarkan komen anti-Semitik.
“Apple dan Spotify yang memutarkan muzik West, sesiapa sahaja yang menaja konsert jelajah West serta Adidas yang bekerjasama dengan West. Semua pihak harus berhenti bekerja dengannya,” kata Emanuel.
Beliau yang juga berbangsa Yahudi, dianggap salah seorang paling berpengaruh dalam dunia hiburan Amerika Syarikat.
West berulang kali menggunakan lagunya sebagai medium menyalahkan ‘media Yahudi’ dan ‘komuniti Yahudi’. Dia menuduh bangsa Yahudi cuba mengawal populasi orang kulit hitam menerusi pengguguran.
Minggu ini Adidas menggugurkan perjanjian kasut Yeezy bernilai AS$1.5 bilion (RM7 bilion) diikuti oleh Gap, Footlocker dan Balenciaga yang menamatkan kontrak dengan penyanyi rap itu.
Kekayaan West menjunam kepada AS$400 juta (RM1.9 bilion) akibat isu itu. – Agensi