Oleh AZAHAR HASHIM
KULIM – Seorang penganggur ditahan selepas bertindak menolak seorang anggota polis sehingga berlaku pergelutan hanya kerana ditegur tidak memakai pelitup muka di Balai Polis Lunas di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi itu, lelaki berusia 51 tahun itu juga bertindak memaki hamun dan membaling beg ke arah anggota polis terbabit.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, suspek sebelum itu datang ke balai berkenaan untuk membuat laporan polis selepas berlaku perselisihan faham dengan kakaknya.
“Bagaimanapun ketika hadir di balai, anggota yang bertugas telah menegur suspek kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) iaitu tidak memakai pelitup muka.
“Namun suspek tidak menghiraukan teguran oleh anggota bertugas, malah melakukan provokasi dengan mengambil beberapa gambar dengan menggunakan telefon bimbitnya di sekitar kaunter balai polis itu,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata, beberapa anggota lain yang berada di balai polis itu kemudian menahan suspek.
Tambahnya, suspek ditahan reman selama empat hari bermula hari ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis 1967 dan Perkara 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020. – K! ONLINE