fbpx

Tawaran gaji lumayan punca ramai terperdaya jadi mangsa pemerdagangan manusia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Musa (tiga, kanan) bersama rakyat Malaysia yang berjaya diselamatkan dan dibawa pulang ke Malaysia malam tadi.

SEPANG – Rakyat Malaysia terutamanya golongan muda digesa agar tidak mudah terperdaya dengan tawaran iklan pekerjaan yang menjanjikan gaji lumayan di negara asing.

Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan berkata, jangan mudah percaya dengan sebarang tawaran iklan pekerjaan kerana seseorang yang terperangkap berisiko menjadi mangsa jenayah pemerdagangan manusia.

“Isu melibatkan tawaran gaji lumayan di luar negara sangat serius kerana melibatkan jenayah pemerdagangan manusia maka sudah pasti pasukan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Atipsom) perlu menyiasat perkara ini supaya tidak berleluasa.

“Saya yakin Jabatan Komersial Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pasukan siasatan Atipsom sedang bekerja keras bagi memastikan sindiket jenayah pemerdagangan manusia dapat dilumpuhkan ,” katanya pada sidang akhbar sempena kepulangan sembilan mangsa pemerdagangan manusia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2), lewat malam tadi.

Terdahulu, sembilan mangsa termasuk seorang wanita berusia 33 tahun yang tiba dari Kemboja disambut oleh Musa dan Setiausaha Agong Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.

Sementara itu, salah seorang mangsa yang enggan dikenali berkata, dia berada di sana sejak lima bulan lalu dan ada dalam kalangan rakannya lebih lama iaitu sembilan bulan.

Katanya, pasport dirampas oleh sindiket malah sebelum itu, ada yang dipukul dan diugut menggunakan pistol supaya tidak melarikan diri.

“Kami dijanjikan gaji lumayan sebanyak AS$1,500 (RM7,080) namun pada dua bulan pertama saya hanya menerima AS$500 (RM2,360) sebelum dipaksa bekerja tanpa gaji.

“Tugas kami adalah menjadi scammer yang menjanjikan pelaburan lumayan melibatkan pelaburan kripto kepada rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau berkata, rasa tertipu menyebabkan mereka menghubungi pihak MHO melalui media sosial untuk memohon bantuan.

“Pada awalnya, kami takut untuk melarikan diri tetapi selepas pihak MHO dan Kedutaan Malaysia di Kemboja mahu membantu, kami nekad melarikan diri sebelum berjaya menjejakkan kaki ke tanah air hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI