fbpx

PRU15: Bekas Pengarah SPRM antara calon PH Kedah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Barisan calon PH Kedah membaca ikrar Jentera PH pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di Sungai Petani, malam semalam. - FOTO/ SHAHIR NOORDIN

SUNGAI PETANI – Pakatan Harapan (PH) mengumumkan empat calon Parti Amanah Negara (Amanah) dan seorang dari DAP yang akan bertanding bagi kerusi Parlimen di Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Senarai calon itu diumumkan Ketua Penerangan PH negeri, Datuk Dr. Ismail Salleh pada Majlis Pengisytiharan Calon PH Kedah di sini malam semalam.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar yang juga Pengerusi PH Kedah kekal bertanding di Pokok Sena.

Tiga calon lagi ialah bekas Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Datuk Latipah Md. Yatim (Sik); Ketua Amanah Kawasan Baling, Johari Abdullah (Baling) dan Ketua Pemuda Amanah Kawasan Padang Terap, Muaz Abdullah (Padang Terap).

Sementara Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff menjadi calon tunggal parti itu yang akan bertanding di Jerai.

Walau bagaimanapun, calon bagi Parlimen Langkawi tidak diumumkan.

Mahfuz ketika ditemui berkata, pihaknya yakin dengan keupayaan barisan calon terdiri daripada muka baharu, anak muda, profesional selain bekas pegawai kerajaan seperti bekas pengarah SPRM di beberapa negeri.

“Bagi kerusi Parlimen Langkawi pula, kita akan mengumumkannya dalam masa terdekat ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pengisytiharan itu.

Berhubung satu kerusi Jerai yang diberikan kepada DAP, kata beliau, keputusan itu dibuat oleh Majlis Presiden PH.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebelum ini mengumumkan sembilan calonnya bertanding di Parlimen Kedah iaitu Dr. Mohamed Fadzil Mohd Ali (Jerlun), Mohd. Aizuddin Ariffin (Kubang Pasu), Simon Ooi Tze Min (Alor Setar).

Dr. Azman Ismail (Kuala Kedah), Datuk Zulkifly Mohamad (Pendang), Nor Azrina Surip (Merbok), Dr. Mohammed Taufiq Johari (Sungai Petani), Karupaiya Mutusami (Padang Serai) dan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (Kulim-Bandar Baharu). – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI