fbpx

Jenazah ibu hamil kembar, anak OKU selamat dikebumikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keranda yang membawa jenazah Fatin Hazlin Dahlia diusung untuk dikebumikan ke Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar, Manir, Kuala Terengganu hari ini.

KUALA TERENGGANU – Jenazah wanita yang sarat hamil bayi kembar serta anak lelakinya yang maut dalam kemalangan jalan raya di Setiu semalam selamat dikebumikan sebentar tadi.

Kedua-dua mangsa, Fatin Hazlin Dahlia Mazlam, 30, dan Sayyid Uwais Al-Qarni Mohd. Lekman, 22 bulan, dikebumikan bersebelahan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Batu Hampar, Manir di sini pada pukul 6.30 petang.

Suasana pilu menyelubungi sebaik sahaja jenazah dua beranak tersebut tiba tanah perkuburan itu.

Upacara pengebumian tersebut dihadiri kira-kira 100 sanak saudara dan sahabat handai dua beranak terbabit.

Fatin Hazlin Dahlia dan anaknya, Sayyid Uwais Al-Qarni maut selepas kenderaan pelbagai guna, Perodua Alza dinaiki mereka bertembung dengan sebuah lori tangki minyak di Kilometer 83, Jalan Kuala Terengganu-Kota Bharu berhampiran Kampung Bintang, Setiu pada pukul 4.40 petang semalam.

Sewaktu kejadian, mereka dalam perjalanan ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan untuk Sayyid Uwais Al-Qarni yang menderita otak di luar tempurung kepaka menjalani rawatan susulan.

Kemalangan itu turut menyebabkan bapa bayi terbabit serta dua adik-beradiknya yang berusia lima dan tujuh tahun cedera parah.

Kisah penderitaan Sayyid Uwais Al-Qarni yang dipanggil Adam oleh keluarganya pernah disiarkan dalam ruangan Kosmo! Prihatin pada 24 Februari 2021. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI