NORHAFIZAN ZULKIFLI
KUANTAN – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempersoalkan tindakan pimpinan parti politik yang kerap berpindah-randah kawasan untuk ditandingi setiap kali pilihan raya umum (PRU) diadakan.
Beliau berkata tindakan pemimpin seperti itu menggambarkan mereka seolah-olah tidak yakin dengan perkhidmatan diberikan mereka semasa menyandang sesuatu kerusi sama ada Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Ismail Sabri memberitahu ada membaca dalam laporan media berhubung pertukaran tempat bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kali ini termasuk membabitkan Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dari Port Dickson, Negeri Sembilan ke Tambun, Perak.
“Ramai berpindah-randah, saya pun tak tahu kenapa mereka suka berpindah. Mungkin mereka tidak yakin dengan perkhidmatan yang mereka berikan selama ini kepada pengundi menyebabkan mereka ke tempat lain dan buat janji baru supaya mempengaruhi pengundi di situ.
“Mereka tidak boleh membohongi pengundi yang sama kalau mereka tidak memberikan perkhidmatan kepada pengundi di situ, mereka tidak boleh janji lagi, rakyat tidak akan percaya.
“Saya bertanding di Bera sejak 2004 dan saya masih di Bera. Kalau saya Perdana Menteri mungkin saya boleh pindah ke tempat lain yang lebih selamat kalau saya tidak beri perkhidmatan kepada rakyat di Bera, saya takut untuk berkhidmat di tempat sama kerana janji saya tidak akan diterima, tapi saya kekal,” katanya pada Program Kenduri Keluarga Malaysia di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini hari ini.
Beliau berkata demikian apabila ditanya percaturan pembangkang khususnya PH yang bertindak menukar kawasan calon mereka khususnya membabitkan kerusi tumpuan seperti Bagan Datuk, Perak.
Semalam, penyandang kerusi Parlimen Hang Tuah Jaya, Datuk Seri Shamsul Mohd. Akin dari PKR diumumkan calon di Parlimen Bagan Datuk bagi melawan penyandangnya yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bukan sahaja beliau kekal di Bera malah hampir semua calon UMNO juga kekal di tempat sama.
“Ini kerana kita selama ini telah memberikan perkhidmatan yang terbaik dan kalau kita berjanji untuk beri perkhidmatan pun mereka yakin mereka yakin dengan kita,” katanya.
Sementara itu ditanya keputusan PKR meletakkan bekas Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abas Awang sebagai calon di Parlimen Bera, Perdana Menteri berkata, beliau terbuka dengan siapa sahaja calon yang akan bertanding di situ.
“Kita terbuka, saya tidak pernah menang tanpa bertanding pun di Bera. Bertanding itu perkara biasa dalam negara demokrasi seperti kita, kita terbuka di mana-mana pun mereka boleh bertanding,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE.