FRANKFORT, Kentucky – Seorang peminat drama penyiasatan forensik bersiri, Crime Scene Investigation (CSI) sanggup ‘berlakon’ menjadi mayat selama 321 hari dengan harapan dapat membintangi siri televisyen tersebut, lapor laman berita LadBible semalam.
Lelaki dari negeri Kentucky itu, Josh Nalley memuat naik rakaman video memaparkan dia terbaring seperti mayat dalam akaun TikToknya, @living_dead_josh setiap hari tanpa gagal sehingga berjaya menarik perhatian produksi CSI:Vegas.
Misi Nalley hanya satu iaitu berlakon menjadi mayat dalam salah satu episod CSI:Vegas dan usaha kerasnya membuahkan hasil apabila kru produksi menawarkan peluang tersebut kepada dirinya.
Nalley berkata, dia tidak mempunyai pengalaman berlakon tetapi lama kelamaan, belajar bagaimana untuk memaparkan lakonan sebagai mayat dengan lebih meyakinkan selepas 10 bulan melakukan perkara sama.
“Saya tidak suka bercakap di depan kamera tetapi saya boleh berbaring di atas tanah dan berpura-pura mati dengan mudah.
“Selepas lebih 300 hari cuba membawa watak ‘mayat’ yang lebih meyakinkan, anda dapat melihat saya lebih bijak menyembunyikan pernafasan dan penggunaan darah palsu yang tidak keterlaluan,” katanya. – Agensi