PETALING JAYA – Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), anak syarikat Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama MGB Berhad (MGB), anak syarikat LBS Bina Group Berhad dan penyedia solusi perkhidmatan pembinaan dan pembangunan hartanah melancarkan projek Idaman Melur hari ini, salah satu daripada enam projek Rumah Idaman MBI (Pemerbadanan Menteri Besar Selangor) di Galeri Jualan KITA @ Cybersouth.
Idaman Melur terletak di Cybersouth, Sepang, terdiri daripada dua buah blok pangsapuri 23 tingkat yang dibina di atas tanah berkeluasan 12.07 ekar (4.8 hektar) dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM414 juta.
Projek pangsapuri berkenaan dibina berdasarkan tiga variasi reka bentuk dan ditawarkan pada harga bermula daripada RM250,000.
Idaman Melur merangkumi sejumlah 1,448 unit pangsapuri berkeluasan binaan minimum 1,000 kaki persegi (92.9 meter persegi) dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air serta dilengkapi penghawa dingin, peti sejuk, almari pakaian, kabinet dapur, televisyen, kabinet televisyen dan pemanas air.
Pembangunannya susulan kejayaan pelancaran projek Idaman Bandar Saujana Putra pada Oktober 2021, yang berjaya menarik minat pembeli dengan kadar pengambilan kukuh bagi kesemua unit yang ditawarkan.
Enam projek Rumah Idaman MBI, yang terdiri daripada 7,210 unit rumah mampu milik memanfaatkan teknologi pra-tuang Sistem Binaan Berindustri (IBS) MGB.
Projek-projek ini akan dibina oleh Konsortium PCSB-MGB, yang merupakan usaha sama antara MGB dan PNSB Construction Sdn. Bhd., anak syarikat PNSB. MGB menjangkakan untuk melancarkan empat lagi baki projek Rumah Idaman MBI menjelang 2023.
Naib Pengerusi Eksekutif MGB, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihaknya berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada pemaju hartanah yang akan membantu merealisasikan misi kerajaan dalam memastikan rumah-rumah dibina dengan harga yang mampu dimiliki oleh setiap rakyat Malaysia.
“Dengan pengalaman luas dalam pembinaan, kami yakin akan dapat membina rumah Rumah Idaman MBI dengan kualiti yang akan menjadi penanda aras untuk rumah mampu milik di Selangor.
“Untuk jangka pendek, matlamat MGB adalah untuk memastikan pelancaran baki projek Rumah Idaman MBI berada di landasan yang betul dan seterusnya membawa kepada tempahan yang berterusan pada tahun-tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim dalam ucapannya pada majlis pelancaran berkata, pihaknya akan terus merealisasikan Projek Rumah Idaman di kawasan-kawasan strategik dan berpotensi Negeri Selangor, antaranya di daerah Petaling, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.
“Dalam 24 buah projek yang dilaksanakan oleh PNSB, sebanyak 45,760 unit Rumah Idaman bakal dibangunkan bersama rakan-rakan strategik, satu usaha yang direalisasikan dengan bantuan dan gandingan tenaga daripada semua pihak.
“Mengimbas kembali projek yang telah dilaksanakan, sebanyak 2,059 unit Idaman Abadi di Kajang 2 telah pun siap manakala 1,260 unit idaman Bukit Jelutong sedang giat dilaksanakan. Disebabkan permintaan yang tinggi, unit-unit kedua pembangunan tersebut kini telah pun habis dijual,” katanya. – KOSMO! ONLINE