fbpx

Pengurus rugi RM1.9 juta diperdaya Macau Scam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang pengurus agensi perbankan kerugian RM1.9 juta akibat terpedaya dengan sindiket penipuan Macau Scam yang menyamar sebagai pihak polis pada 5 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd. Faisal berkata, mangsa terpedaya selepas dihubungi sindiket itu yang mendakwa dia terlibat dalam kes langgar lari hingga menyebabkan kematian.

“Mangsa yang berusia 50 tahun juga didakwa mempunyai rekod kes pengubahan wang haram. Pada masa sama dia menerima satu mesej waran tangkap.

“Mangsa kemudian diminta membuka akaun baharu supaya wang dalam akaun bank miliknya dapat dipindahkan ke akaun itu bertujuan untuk siasatan pihak Bank Negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, pada keesokan hari mangsa bertindak memindahkan semua wangnya ke dalam akaun baharu itu dan diminta tidak membuat sebarang semakan dengan pihak bank daripada bulan Mei hingga September bagi melancarkan siasatan pihak polis.

Menurut beliau, mangsa turut dijanjikan akan menerima surat pengesahan sama ada didapati bersalah atau tidak pada penghujung September atau selewatnya awal Oktober ini.

Kata beliau, mangsa bagaimanapun tidak menerima surat pengesahan seperti dijanjikan dan pemeriksaan mendapati wang simpanannya di bank berjumlah RM1.9 juta telah dikeluarkan secara berperingkat.

Sehubungan itu, Nik Ezanee mengingatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan muslihat seperti itu dan mendapatkan pengesahan daripada pihak polis atau institut kewangan terlebih dahulu untuk semakan.

Kata beliau, orang ramai diminta mendedahkan nombor akaun, nombor kad ATM atau kad kredit kepada orang yang tidak dikenali dan segera hubungi IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222 jika menerima panggilan sedemikian,” katanya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI