WASHINGTON – Kajian baharu mendapati fenomena gelombang haba mengakibatkan ekonomi dunia mengalami kerugian mencecah AS$16 trilion (RM75 trilion) sejak tahun 1990-an, lapor portal berita MailOnline kelmarin.
Ia termasuk kos disebabkan oleh kesan gelombang haba terhadap kesihatan manusia, produktiviti dan hasil pertanian.
Kajian tersebut turut mendedahkan bahawa kelompok negara termiskin mengalami kesan ekonomi paling buruk, terutamanya negara iklim tropika.
Pasukan penyelidik Kolej Dartmouth di New Hampshire, Amerika Syarikat (AS) melakukan kajian itu yang menggabungkan data ekonomi dan suhu purata untuk tempoh lima hari paling panas setiap rantau di dunia.
Mereka mendapati dari tahun 1992 hingga 2013, gelombang haba memberi kesan terhadap pertumbuhan ekonomi dengan perbezaan ketara wujud antara rantau berpendapatan tinggi dan berpendapatan rendah.
“Hampir tiada negara di dunia mendapat manfaat daripada impak haba melampau yang berlaku.
“Peristiwa global seperti pandemik Covid-19 mendedahkan kaitan rapat antara rantaian bekalan dan ekonomi global. Negara-negara berpendapatan rendah mempunyai bilangan besar buruh. Mereka bekerja menjana bahan mentah yang sangat penting kepada rantaian bekalan global,” kata penulis kanan kajian, Justin Mankin.
Beliau berkata, kajian itu adalah antara yang pertama mengkaji secara khusus bagaimana gelombang haba mempengaruhi pertumbuhan ekonomi.
“Kos sebenar perubahan iklim kepada ekonomi dunia adalah lebih tinggi daripada apa yang kami kira setakat ini,” tegas Mankin.
Kajian terdahulu cenderung memberi tumpuan kepada wilayah berpendapatan tinggi, di mana kedua-dua data ekonomi dan iklim adalah lebih teguh.
Mereka juga menyatakan bahawa gelombang haba turut mendorong bencana alam lain yang mempunyai kaitan dengan perubahan iklim seperti banjir lebih kerap dan ‘serangan’ ribut lebih dahsyat.
Pasukan penyelidik berkenaan turut berkata, gelombang haba melampau membawa kepada kerugian ekonomi terkumpul antara AS$5 trilion (RM23 trilion) hingga AS$29.3 trilion (RM138 trilion) di seluruh dunia dari 1992 hingga 2013.
Kerugian ekonomi akibat cuaca panas melampau didapati lebih rendah bagi negara-negara kaya.
Ini termasuk Amerika Syarikat, Kanada dan sebahagian negara Eropah. – AFP