fbpx

Komuniti trak makanan terjejas mohon kerajaan beri perhatian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AZIZAH Amri bersama trak makanan miliknya yang tidak beroperasi sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan sejak Mac lalu.-FOTO WAT KAMAL ABAS

Oleh WAT KAMAL ABAS

BAGAN SERAI – Kebanyakan komuniti pengusaha trak makanan di Perak meluahkan mereka tidak dapat meneruskan perniagaan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Mac lalu akibat penularan pandemik Covid-19.

Seorang pengusaha trak makanan, Azizah Amri, 47, berkata, ini disebabkan tiada sebarang penganjuran majlis keramaian ketika ini.

“Memandangkan tiada sebarang program keramaian ketika ini, pendapatannya dengan menjual kuih peneram menggunakan trak tidak dapat dilakukan seperti sebelum penularan Covid-19.

“Memang ramai pengusaha trak makanan yang terjejas dengan keadaan ini. Tambahan pula kami terpaksa mengeluarkan kos lain seperti melakukan ujian pemeriksaan wajib di Puspakom setiap enam bulan sekali,” katanya ketika ditemui di sini.

Tambah Azizah, selain pemeriksaan wajib Puspakom, mereka juga perlu membayar kos lain termasuk cukai jalan dan insurans.

“Kami berharap Kementerian Pengangkutan mengkaji semula peraturan pemeriksaan tersebut dari enam bulan sekali ditukar kepada setahun sekali sehingga negara bebas Covid-19 dalam usaha meringankan bebanan pengusaha trak makanan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Usahawan Trak Makanan Perak (PEFTA), Mohd Hata Abu Daud berkata, pihaknya berharap agar kerajaan negeri Perak melalui pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat membuka satu tapak khusus buat pengusaha trak makanan di utara Perak.

“Selain itu, kerajaan negeri juga dapat mengeluarkan lesen perniagaan untuk mereka. Setakat hari ini,hanya lesen penjaja bergerak sahaja yang di keluarkan oleh pihak PBT dan belum ada lagi lesen khas bertempat untuk pengusaha trak makanan dikeluarkan,” katanya.  -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI