JASIN – Pas Melaka mengesahkan bertanding di kerusi Parlimen Jasin dan Tangga Batu mewakili Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.
Timbalan Pengerusi PN Bahagian Jasin, Datuk Kamarudin Sidek berkata, keputusan itu sudah diputuskan secara muktamad pada Mesyuarat Presiden PN yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Khamis lalu.
Bagaimanapun menurutnya, nama calon yang akan bertanding di kedua-dua kerusi berkenaan akan diumumkan sendiri Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang esok.
“Alhamdulillah akhirnya terjawab pelbagai persoalan sama ada Pas kekal bertanding di Jasin dan Tangga Batu ataupun tidak.
“Terima kasih pucuk pimpinan tertinggi PN berjaya memuktamadkan pengagihan kerusi dan mengikut keputusan yang dipersetujui awal pada Mesyuarat PN Melaka sebelum ini.
“Walaupun pembahagian kerusi sudah selesai tetapi siapa calon Pas yang akan bertanding akan kita ketahui esok,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Pelancaran Jentera Pilihanraya PN Parlimen Jasin di Merlimau, di sini malam tadi.-KOSMO! ONLINE