MELAKA – Pemandu lori yang terlibat dalam nahas maut membabitkan tiga beranak di Kilometer 216 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) di sini, semalam direman tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan.
Perintah reman itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Ayer Keroh, Syarina Shaarani@Tan terhadap lelaki berusia 43 tahun terbabit bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Terdahulu suspek yang berpakaian lokap bewarna ungu tiba di pekarangan kompleks mahkamah pada pukul 9.50 pagi dengan diringi anggota polis.
Semalam Kosmo! melaporkan, sepasang suami isteri dan anak lelaki mereka berusia setahun maut selepas kereta Honda Jazz dinaiki merempuh bahagian belakang sebuah lori yang berhenti bagi melakukan kerja pembaikan jalan.
Ketiga-tiga mangsa, Muhammad Nazirul Syafiq Azmi, 28; Zubaidah Abd. Rajak, 28, dan Muhammad Rizqi, setahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.-KOSMO! ONLINE