SEPANG- Setelah menempuh pengalaman diazab selama lebih tujuh bulan, seorang rakyat Malaysia akhirnya berjaya diselamatkan dari KK Garden semalam yang merupakan sebuah lokasi terpencil di Myanmar.
Usaha membawa pulang David (bukan nama sebenar), 21, kembali ke tanah air turut dibantu seorang peniaga warga Malaysia yang berada di Thailand yang dikenali sebagai Victor Wong.
Pihak Kedutaan Besar Malaysia di Bangkok turut menolong mangsa daripada segi dokumen perjalanan bagi membolehkan dia balik dengan menaiki pesawat Thai Airways penerbangan TG 417.
Ketibaan lelaki itu yang berasal dari Selangor disambut Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim.
“Mangsa ini mulanya diarah pergi ke Kelantan sebelum dibawa masuk mengikut laluan tikus ke negara jiran awal Februari lalu.
“Dari Thailand, dia dipaksa menaiki sebuah kereta melalui perjalanan selama dua hari lagi bagi menyusup masuk ke Myanmar dengan ugutan renjatan elektrik sebelum tiba di KK Garden,” katanya menerusi wakil perhubungan MHO, Daniel Khoo.
Mengulas lanjut, David mendedahkan bahawa terdapat ribuan lagi rakyat Malaysia berada di KK Garden dengan diagihkan kepada beberapa ‘syarikat’ untuk operasi penipuan atas talian.
“Pelanggan mereka di seluruh dunia termasuk Malaysia dan mangsa skim penipuan tawaran pekerjaan ini dikerah bertugas 17 jam dengan diberikan makan percuma tiga kali setiap hari.
“Mereka yang gagal capai sasaran jualan akan dipukul dengan teruk selain diseksa berlari atau tekan tubi serta makan daging tikus disalut cili pedas dan hati ayam,” katanya.
Katanya, kesemua mereka dilayan seperti hamba abdi dengan ditempatkan dalam bilik kecil yang setiap satunya mengandungi lapan orang tanpa ada kemudahan bekalan elektrik dan air bersih.- KOSMO! ONLINE