BAGAN SERAI – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Kuala Kurau menahan sebuah bot tanpa nombor pendaftaran bersama tiga kru warga Myanmar di Kuala Kurau di sini kira-kira pukul 12.10 tengah hari semalam.
Pengarah Zon Maritim Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd. Najhan Azman Hamid berkata, mereka ditahan di kedudukan 0.6 batu nautika barat daya muara Kuala Kurau di sini.
“Semasa rondaan rutin di perairan Kuala Kurau, pasukan bot peronda APMM telah mengesan sebuah bot mencurigakan dan ia dirapati untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan awal mendapati, terdapat tiga kru warga Myanmar dan seorang tekong warga tempatan dalam lingkungan umur antara 26 hingga 42 tahun berada di atas bot,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd. Najhan berkata, pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua kru warga asing itu tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
Beliau berkata, tekong itu pula gagal mengemukakan dokumen kebenaran menggunakan kru warga asing daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia selain bot tidak mempunyai lesen yang sah.
“Kesemua kru, bot dan peralatan menangkap ikan ditahan sebelum dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kurau untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen dan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya. – KOSMO! ONLINE