PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) mengambil maklum situasi beberapa wakil negara berdepan kontroversi pengadilan pada Terbuka Perancis yang sedang berlangsung di Paris.
Kelmarin, pemain perseorangan lelaki profesional, Liew Daren didenda AS$500 (RM2,361) disebabkan tindakannya melemparkan raket selepas tamat perlawanan pusingan pertama menentang H.S. Prannoy dari India.
Hasil protes itu turut menyaksikan Daren dilayangkan kad merah kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan pengadil yang tidak memberikan mata kepadanya ketika tewas 16-21, 21-16, 16-21.
Situasi sama turut menimpa dua beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Mohd. Rumsani ketika menentang lawan masing-masing di pusingan kedua awal pagi semalam.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh menjelaskan, pihaknya perlu mendapat gambaran sepenuhnya daripada para pemain terlebih dahulu sebelum mereka membuat aduan rasmi kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF).
“Siasatan dalaman akan dilakukan terlebih dahulu kerana ia membabitkan hal teknikal, apa pun memang kami ambil maklum tentang perkara yang berlaku ini,” katanya.
Sementara itu, BAM terpaksa menunda penganjuran kejohanan badminton Cabaran Antarabangsa Malaysia di Ipoh, Perak yang sepatutnya diadakan bermula 15 hingga 20 November depan.
Ia disebabkan tarikhnya bertembung dengan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pada 19 November.
Pun begitu, kejohanan Siri Antarabangsa Malaysia dari 8 hingga 13 November tetap berjalan seperti biasa.