LANGKAWI – Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. menyediakan sebuah feri gantian yang akan membawa penumpang feri yang terkandas ke Pulau Langkawi pada pukul 12 tengah malam ini.
Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Kapten Baharin Baharom berkata, pihaknya akan menghantar sebuah feri gantian dari Pulau Langkawi pada pukul 10 malam ini.
“Feri tersebut dijangka bertolak dari Terminal Feri Kuala Kedah pada pukul 12 tengah malam ini yang mana air laut sudah kembali pasang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kata beliau, pada mulanya syarikat feri menawarkan penginapan kepada penumpang dan membenarkan mereka untuk menaiki feri pada pukul 2 petang esok.
“Namun atas permintaan penumpang yang mempunyai urusan di pulau itu esok, pihak feri telah mendapatkan kebenaran daripada Jabatan Laut bagi menambah perjalanan khas untuk penumpang yang terkandas,” ujarnya.
Sementara itu, katanya, feri yang terkandas akan ditarik pada malam ini apabila paras air laut mencecah 1.6 meter iaitu kedalaman minimum bagi perjalanan feri. – KOSMO! ONLINE