KEMENANGAN besar 5-1 Terengganu FC (TFC) ke atas Sri Pahang di Stadium Darul Makmur, Kuantan kelmarin tidak hanya mencerahkan peluang ke suku akhir Piala Malaysia, malah memberikan hadiah ulang tahun kelahiran ke-44 buat pengendalinya, Mohd. Nafuzi Zain.
Secara tidak langsung, ia menunjukkan rasa sayang pemain terhadap jurulatih muda itu ketika masa depannya juga masih menjadi persoalan, sama ada terus kekal di Kuala Terengganu atau berhijrah mencari pengalaman baharu.
“Sebenarnya kita menunggu detik terbaik dan pemain berjaya melunaskan perancangan yang diatur. Jaringan awal juga beri keyakinan kepada pemain dan selepas itu pemain terus memanfaatkan peluang tercipta.
“Petrus Shitembi cedera dan saya tidak mahu ambil risiko. Saya masih ada Kpah Sherman dan saya yakin dengan kualitinya. Malam ini (kelmarin) dia serlahkan apa yang dia ada dan sudah pasti ia bagus buat pasukan serta dirinya.
“Syukur, kebetulan pula ulang tahun kelahiran saya dan ia menjadi kemenangan serta hadiah berharga. Saya begitu terharu kerana pemain pun hadiahkan kemenangan ini kepada saya dan Kpah datang peluk saya selepas menjaringkan gol,” katanya.
Seramai 19,770 penonton yang hadir ke stadium menjadi saksi Sherman ‘menggila’ merakam hatrik diikuti satu gol daripada Faisal Halim dan Nik Sharif Haseefy, manakala gol tunggal Tok Gajah dijaringkan oleh Steven Rodriguez.
Mengulas lanjut, Nafuzi juga memilih penjaga golnya, Suhaimi Husin sebagai seorang lagi watak penting buat skuad Sang Penyu apabila mempamerkan ketangkasan, sekali gus menafikan percubaan bahaya tuan rumah.
“Sebelum ini orang mungkin anggap Rahadiazli Rahalim (pemain lebih baik) tetapi Suhaimi juga mempamerkan aksi luar biasa. Bagi saya kedua-dua penjaga gol ini memiliki kualiti yang sama.
“Buat masa ini, saya hanya fikirkan tentang pasukan dan penyokong. Saya pun belum tahu apa-apa tentang kontrak kerana belum terima sebarang butiran tawaran kontrak di depan mata saya,” katanya.