fbpx

Ramai bantah caj tinggi Taman Negara Pulau Pinang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sekumpulan pengusaha bot dan pemandu pelancong mengadakan bantahan secara aman di pintu masuk Taman Negara Pulau Pinang petang tadi.

TELUK BAHANG – Pengusaha bot dan pemandu pelancong di sini meminta Pejabat Taman Negara Pulau Pinang mengkaji semula caj bayaran masuk ke hutan simpan berkenaan yang disifatkan terlalu mahal.

Caj berkenaan iaitu fi konservasi dan fi aktiviti akan mula dikenakan pada 1 November ini kepada pelancong asing, pelancong tempatan dan penduduk setempat.

Bagi pelancong tempatan mereka akan dikenakan fi konservasi berjumlah RM10 untuk dewasa, RM5 bagi pelajar dan kanak-kanak serta RM2 untuk penduduk tempatan manakala pelancong asing pula dikenakan RM50 (dewasa), RM20 (pelajar) dan RM15 (kanak-kanak tiga hingga 12 tahun).

Seorang pengusaha bot pelancong, Mohd Afizee Rodzi,33, berkata, fi yang dikenakan kepada pelancong tempatan dan pelancong asing itu terlalu tinggi dan boleh menggangu aktiviti pelancongan di situ.

”Sebelum ini pada Mei lalu, kami pernah bermesyuarat dengan pengurusan Taman Negara dan telah menyuarakan bantahan kerana fi ini terlalu tinggi.

”Kami berharap jumlah fi ini akan dikaji semula ke kadar yang lebih munasabah memandangkan fi di Taman Negara Pahang dikenakan pada kadar RM2 bagi pelancong asing manakala hanya RM1 bagi pelancong tempatan,” katanya dalam sidang media di Taman Negara Pulau Pinang di sini hari ini.

Terdahulu, sekumpulan pengusaha bot dan pemandu pelancong mengadakan bantahan secara aman membantah fi berkenaan di Taman Negara Pulau Pinang kira-kira pukul 3 petang tadi.

Kumpulan mereka turut menyerahkan memorandum bantahan yang ditandatangani oleh lebih 300 pengusaha bot, penduduk tempatan dan pemandu pelancong kepada wakil Pejabat Taman Negara Pulau Pinang.

Menurut Mohd Afizee, pihaknya amat berharap fi berkenaan ditangguhkan terlebih dahulu oleh pihak pengurusan terbabit memandangkan situasi ekonomi para pengusaha bot yang masih belum pulih selepas pandemik Covid-19.

”Pelancong tidak pernah dikenakan sebarang caj sejak 2003 dan lebih sejuta pelancong melawat taman negara ini setiap tahun.

”Kami bimbang sekiranya fi ini mula dikenakan pelancong enggan datang ke sini lagi dan menjejaskan punca pendapatan kami,” katanya.

Dalam pada itu, seorang pemandu pelancong, Suhaimi Hamid, 57, berkata, pihaknya amat berharap kadar fi berkenaan akan disemak semula agar menjadi lebih munasabah kepada para pelancong. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI