SEBERANG PERAI – “Arwah anak saudara (Lutfir Rahman) bersungguh-sungguh mahu pergi ke sekolah. Rupa-rupanya dia akan pergi meninggalkan kami.”
Demikian cerita Siti Shafawiyah Mohamad, 36, yang merupakan ibu saudara arwah Lutfir, 15, yang maut dalam kemalangan bersama bapanya, Izham Haniff Ibrahim, 46.
Nahas berlaku di Jalan Padang Menora, Tasek Gelugor di sini semalam. Dalam kejadian pada pukul 7.15 pagi itu, Izham dalam perjalanan menghantar anaknya ke sekolah.
Menurut Siti Shafawiyah, menjadi rutin abang iparnya yang bertugas sebagai kakitangan keselamatan di Pusat Perubatan Universiti Sains Malaysia, Bertam menghantar anaknya ke sekolah agama di Guar Perahu.
“Sebelum itu, kakak saya (Salwa Hanim) minta Lutfir tidak ke sekolah memandangkan dia sedang berkursus di Langkawi.
“Walau bagaimanapun, arwah yang merupakan anak ketiga daripada lima beradik tetap mahu ke sekolah. Jadi abang ipar (Izham) yang kebetulan bercuti kerana tidak sihat menuruti permintaan anaknya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kepala Batas di sini semalam.
Siti Shafawiyah memberitahu, dia mengetahui kejadian yang menimpa dua beranak tersebut menerusi aplikasi WhatsApp daripada pekerjanya.
Sementara itu, ibu saudara Salwa, Fauziyah Daud, 56, pula memberitahu, kali terakhir dia berjumpa dua beranak tersebut ketika menghadiri majlis tahlil dan bacaan Yasin minggu lalu.
“Sepatutnya kami berjumpa malam esok (malam ini) sebelum saya berangkat menunaikan umrah, tetapi perancangan Allah itu yang terbaik,” katanya.
Dalam kejadian itu, motosikal yang ditunggang dua beranak tersebut dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di laluan bertentangan di Jalan Padang Menora.
Pemandu kenderaan pelbagai guna (MPV) dari arah Penanti ke Kepala Batas tidak sempat mengelak lalu terlanggar motosikal mangsa.
Jenazah mereka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Padang Menora selepas solat asar semalam.