LONDON – Beberapa spesies burung di Britain kini diancam sejenis virus yang mengakibatkan leher menjadi bengkok dan haiwan itu bergerak dalam bentuk bulatan, lapor akhbar New York Post kelmarin.
Persatuan Pencegahan Kekejaman Haiwan Jersey (JSPCA) berkongsi amaran itu bersama gambar memaparkan beberapa ekor burung merpati dengan leher yang membengkok.
“Bilangan merpati tanah yang masuk ke Pusat Perlindungan Haiwan JSPCA sejak beberapa minggu kebelakangan ini semakin meningkat.
“Kebanyakannya menunjukkan simptom penyakit neurologi seperti leher membengkok. Burung yang dijangkiti juga bergerak seperti berpusing dalam bulatan,” kata agensi penyelamat haiwan itu yang berpangkalan di St. Helier, Jersey.
JSPCA berkata, penyakit ganjil itu dinamakan paramyxovirus merpati yang digambarkan sebagai ‘penyakit bawaan virus yang kerap membawa maut serta boleh menjejaskan merpati dan ayam’.
Burung yang menderita penyakit itu biasanya kurus dan mengeluarkan najis berwarna hijau.
“Kadang-kadang ia juga akan mengalami kecederaan kerana tidak dapat mengimbangi badan atau terbang dengan baik,” kata JSPCA sambil menambah, burung yang masih hidup akan dihapuskan untuk mengelakkan daripada menjangkiti burung lain.
Mereka yang membela burung dinasihatkan untuk memerhatikan simptom tersebut, lapor akhbar The Sun.
Untuk mengelakkan jangkitan paramyxovirus merpati, mereka boleh memberi vaksin kepada burung dan memastikan sangkar sentiasa bersih.
“Virus ini tidak bertindak balas terhadap rawatan, namun penjagaan rapi oleh doktor veterinar dapat mengurangkan penyakit menjadi lebih teruk dan meningkatkan peluang burung untuk terus hidup,” kata persatuan burung Bird Exotics Veterinary.
Virus itu tidak menjangkiti manusia, tetapi orang yang mengendalikan burung sakit boleh dijangkiti konjungtivitis atau juga dikenali sebagai mata merah. – Agensi