Oleh NUR NAZLINA NADZARI
PADANG BESAR – Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 1 Ulu Kinta, Perak menemui sebuah kotak berisi dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja seberat 1.9 kilogram yang ditinggalkan di Jalan Keselamatan berhampiran tembok sempadan Malaysia-Thailand di sini kelmarin.
Pegawai Pemerintah Medan Martak Batalion 1 PGA, Superintendan Abd. Aziz Abdullah memberitahu, sepasukan anggota yang melakukan rondaan risikan serta pemeriksaan tembok dan pintu sempadan menemui sebuah kotak di Jalan Keselamatan berhampiran Menara 8 kira-kira pukul 7 pagi.
“Kotak tersebut didapati mengandungi dua ketulan mampat daun kering disyaki ganja yang dibalut dengan plastik lutsinar.
“Anggota kemudian melakukan intipan selama hampir tujuh jam, namun tidak ada sesiapa yang datang mengambil kotak berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, kotak mengandungi dadah itu dibawa ke Balai Polis Padang Besar untuk tindakan lanjut.
“Rampasan melibatkan dua ketulan mampat ganja seberat 1.9 kg kilogram dianggarkan bernilai RM4,750,” ujarnya.
Tambahnya, penyeludupan dadah itu disyaki dilakukan dari Thailand ke negara ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
“Kita akan terus meningkatkan rondaan dan kawalan keselamatan bagi mengekang jenayah rentas sempadan,” katanya.-K! ONLINE