BAHANG Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tinggal seminggu lagi dengan pemimpin parti kini sedang sibuk menyusun strategi meletakkan calon boleh menang.
Perbualan mengenai PRU15 juga hangat di kedai-kedai makan, namun lebih kepada ‘orang lama’ dengan ketaksuban masing-masing mengulas persepsi kerajaan tebuk belakang.
Berbeza dengan generasi muda apabila mood mereka sukar dijangka dan mengikut senarai daftar pemilih dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi muda berusia 18 hingga 29 tahun lebih enam juta.
Satu jumlah yang besar dan buat kali pertama negara menyaksikan, rakyat seawal usia 18 tahun akan menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi. Sudah pasti, kita mahu mereka menjadi pengundi rasional dan bukan emosional.
Menurut Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Dr. Jeniri Amir, perkara yang menjadi kebimbangan adalah peratusan keluar mengundi dalam kalangan mereka yang layak termasuk pengundi muda seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan Melaka.
“Ini mungkin disebabkan proses mereka didaftarkan secara automatik dan bukan atas inisiatif sendiri, jadi komitmen itu rendah,” katanya.
Justeru jelasnya, usaha harus dipertingkatkan menerusi pelbagai platform bagi menyakinkan pengundi yang pertama kali turut serta memilih calon dan parti yang sesuai untuk membentuk kerajaan.
“Saya tidak fikir pengundi muda ini akan membuat undi rosak kerana memikirkan pentingnya undian mereka itu.
“Ini tanggungjawab mereka sepenuhnya kerana mereka mewakili suara akar umbi negara ini. Cuma jangan bila tidak mengundi dan mendapat kerajaan nanti akan mula episod salah-menyalahi dalam media sosial,” tegasnya.
Untuk rekod, kajian Merdeka Center pada Mei 2021 mendapati, hanya sekitar satu pertiga daripada golongan muda Malaysia berminat dengan politik dan 78 peratus daripada mereka tidak memahami apa yang berlaku dalam dunia politik dan kerajaan.
Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian menjelaskan, situasi itu mungkin disebabkan tiada faktor wow berbanding tempoh 2015 hingga 2018 yang mempunyai perancangan tersusun dan licin dalam pembunuhan karakter dan isu yang dibawa sehingga menjadi pemangkin untuk keluar mengundi.
“Selepas 2021, melihat perubahan tiga perdana menteri, maka wujud perasaan endah tak endah. Jadi, parti politik harus membangkitkan minat dan motivasi mereka untuk keluar mengundi nanti,” ujarnya.
Bagaimanapun, beliau percayai semua parti akan memastikan pemilihan calon dibuat dengan betul yang akan menjadi tawaran kepada orang muda untuk keluar mengundi.
“Pengundi saya rasa sebahagiannya telah membuat keputusan khususnya pengundi tegar.
“Saya tidak menolak PRU15 adalah percubaan bagi parti-parti bertanding melihat kecenderungan dalam kalangan pengundi muda yang juga pelajar intitusi pengajian tinggi.
“Namun, mana-mana parti sewajarnya memberikan informasi sahih supaya pengundi muda tidak emosional tetapi rasional dalam pemarkahan mereka tentang sesuatu parti atau calon sebelum mengundi,” jelasnya.