Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Sambutan Deepavali peringkat negeri Perak pada tahun ini tidak akan diadakan berikutan langkah berjaga-jaga yang diambil bagi mengekang penularan wabak Covid-19 yang kembali menunjukkan pertambahan ketika ini.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, perkara itu telah diputuskan pada Mesyuarat Majlis Keselamatan Negeri baru-baru ini berdasarkan situasi semasa setelah mengambil kira kepentingan umum.
Bagaimanapun katanya, perkara-perkara lain berkaitan perayaan itu termasuk membenarkan pembukaan gerai-gerai jualan seperti kebiasaan sebelum ini masih belum dibicangkan.
“Kita ambil maklum perkara tersebut kerana para peniaga perlu membuat persiapan termasuk menyediakan barang-barang jualan, jadi sebarang keputusan kita akan maklumkan segera.
“Selain itu, ini juga adalah sumber pendapatan kepada para peniaga kerana gerai-gerai ini merupakan tumpuan orang ramai membeli keperluan menyambut Deepavali seperti hiasan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir menyaksikan Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Digital Perak Bersama Pelabur-Pelabur di Hotel Weil di sini hari ini.
Terdahulu pada majlis tersebut, Digital Perak memeterai kerjasama KiplePay Sdn. Bhd. Iaitu anak syarikat Green Packet Berhad untuk menyediakan kememudahan transaksi tanpa tunai.
Kerjasama strategik ini dlcapal untuk membolehkan perkhidmatan-perkhidmatan Digital Perak seperti kursus Latihan yang ditawarkan termasuk transaksi jualan e-dagang dapat dibayar secara tanpa tunai.
habis