MANCHESTER – Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag percaya Cristiano Ronaldo akan terus menghasilkan jaringan selepas menyumbangkan satu gol ketika menewaskan Sheriff Tiraspol 3-0 dalam aksi kelima Kumpulan E Liga Europa awal pagi semalam.
Sejak tercetusnya kebimbangan tentang hubungan antara Ten Hag dan Ronaldo, pengurus itu segera tampil meredakan keadaan dengan kembali menurunkan kapten Portugal berkenaan buat kali pertama.
“Ronaldo seorang pemain yang bagus, dia mencipta peluang buat rakan sepasukan dan pasukan juga melakukan perkara sama buatnya. Dia perlukan jaringan untuk mendapatkan semula keyakinannya sekaligus mampu merekodkan lebih banyak jaringan.
“Saya mahu lihat Cristiano dan Marcus Rashford berada berhampiran gol dan itulah sebabnya kami mengeluarkan Antony,” katanya.
Dua lagi gol The Red Devils dihasilkan oleh Diogo Dalot dan Rashford sekaligus meletakkan United di tangga kedua Kumpulan E dengan 12 mata, tiga mata dipisahkan dengan pendahulu, Real Sociedad.
Jumaat depan United akan melengkapkan aksi kumpulan menentang Real Sociedad dan ia juga menjadi perlawanan penting untuk penentuan juara kumpulan.
“Pasukan lawan bertahan dengan baik, namun selepas kami mendahului 1-0, ruang mula terbuka dan sepatutnya kami mampu dapatkan lebih banyak jaringan.
“Kami mampu menjaringkan gol dan kekal tanpa bolos. Sudah pasti saya gembira dengan situasi ini dan sekarang kami perlu kekal fokus untuk aksi selepas ini,” jelasnya. – AGENSI