fbpx

K2

Buru ikan bersisik di Sungai Langat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMAD HAFIZ menunjukkan ikan sebarau yang turut berjaya dipancing di Sungai Langat baru-baru ini.

HOBI memancing sememangnya sudah sinonim dengan golongan lelaki, khususnya mereka yang dilahirkan dan membesar di kampung.

Bagi Muhamad Hafiz Zainol, 30, yang berasal dari Kampung Jejawi Dalam di Arau, Perlis, membesar di kawasan kampung yang dikelilingi sawah padi telah memberi kelebihan kepadanya untuk mengasah bakat dalam aktiviti memancing.

Dia yang kini bertugas sebagai penjawat awam di Putrajaya berkata, walaupun sudah tidak lagi tinggal di kampung, namun aktiviti memancing tetap dilakukannya terutama pada cuti hujung minggu.

“Ketika di kampung, saya selalu memancing ikan di kawasan sawah padi, tali air dan anak sungai sahaja.

“Di kampung, saya banyak memburu ikan seperti haruan, keli dan puyu yang banyak mendiami kawasan-kawasan sekitar sawah padi.

“Sejak berpindah ke Putrajaya pada 2018, saya mula belajar mengenai cara memancing ikan di kawasan sungai, tasik dan lombong yang banyak terdapat di sekitarnya,” kata Muhamad Hafiz.

Menurut Muhamad Hafiz lagi, pada awalnya, dia sering mengikuti beberapa rakannya untuk memancing pelbagai spesies ikan sungai seperti patin, baung, lampam dan jelawat yang banyak mendiami Sungai Langat.

Namun, katanya, lama-kelamaan dia mula memberi tumpuan kepada pemburuan ikan bersisik seperti rohu, likuh, tengalan, sebarau, temoleh dan tongsan, selain lampam dan jelawat kerana tertarik dengan teknik memancing untuk mendapatkan ikan-ikan tersebut.

Jelas Hafiz lagi, aktiviti memancing ikan spesies bersisik memerlukan teknik dan kemahiran tertentu.

Katanya, dia telah mempelajari teknik berkenaan daripada seorang rakannya yang berasal dari Dengkil, Selangor.

“Untuk memancing ikan bersisik dari Sungai Langat, saya telah mengamalkan teknik yang dipelajari daripada rakan saya itu iaitu dengan menggunakan teknik bottom.

“Walaupun saya turut menggunakan mata kail spring atau bom seperti digunakan oleh kaki pancing yang memburu ikan di kolam dan sungai, tetapi teknik yang saya gunakan sedikit berbeza dan juga dipanggil teknik radar.

“Saya akan meletakkan tanah liat pada bahagian tali berdekatan mata kail sebagai petunjuk. Apabila tali mula bergerak, ia menunjukkan bahawa umpan sudah mengena dan sudah tiba masa untuk merentap tali,” katanya.

IKAN temoleh yang besar berjaya didaratkan Muhamad Hafiz.

Menurutnya lagi, dia lebih gemar menggunakan umpan yang terdiri daripada dedak ayam yang dicampur dengan tepung gandum.

Pada keadaan tertentu katanya, dia turut menggaul campuran umpan tersebut dengan sedikit pewangi umpan bagi tujuan menarik perhatian ikan, khususnya ketika air sungai keruh terutama
selepas waktu hujan.

Katanya, dia juga akan menggunakan sekurang-kurangnya tiga batang joran sederhana panjang yang dipadankan dengan tali utama bersaiz 10 paun dan disambung dengan perambut 20 paun.

Tambahnya, dia lebih gemar menggunakan semua joran yang digunakan pada satu tempat sahaja.

Kata Muhamad Hafiz, tujuannya adalah untuk menarik perhatian ikan berkumpul di lokasi tersebut selain menjadikannya sebagai daya tarikan ikan untuk terus berada di lubuk berkenaan.

“Biasanya, saya hanya akan menggunakan satu joran sahaja untuk memancing, manakala dua joran lagi digunakan untuk meletakkan umpan bagi menarik perhatian ikan berkumpul di situ.

“Lokasi tumpuan saya untuk memburu ikan sungai yang bersisik ini ialah di sepanjang Sungai Langat termasuk di sekitar Dengkil, Semenyih, Jenderam dan kawasan sekitarnya.

“Jika memancing pada waktu siang, saya akan pergi seorang diri dan antara ‘port’ yang menjadi tumpuan saya ialah di kawasan bertebing, berteluk dan air sungai yang berarus.

“Ini kerana, tempat seperti itu kerap menjadi lubuk spesies ikan bersisik terutamanya lampam, jelawat, rohu dan likuh,” katanya.

Tambah Hafiz lagi, setakat ini, rezekinya sentiasa ada dan jarang pulang dengan tangan kosong setiap kali turun ke sungai memancing.

Katanya, dia pernah menaikkan ikan sungai sekitar 40 hingga 50 ekor pada satu-satu masa.

Ikan terbesar yang pernah dinaikkan adalah daripada spesies temoleh seberat 7.2 kilogram seekor.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI