fbpx

Hubungan parti-parti komponen PN tidak goyah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Oleh ZAKI SALLEH

IPOH – Hubungan antara Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dengan UMNO dan parti-parti komponen lain dalam Perikatan Nasional masih kukuh di sebalik khabar-khabar angin kononnya gabungan tersebut mula goyah dan berkemungkinan berlaku pertukaran kerajaan dalam masa terdekat.

Sebaliknya, persefahaman dan kerjasama politik dalam PN tidak tergugat sama ada pada peringkat kerajaan pusat atau negeri serta berjalan seperti biasa.

Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau sendiri tidak menjangkakan berlaku pertukaran pemerintah dan sudah pasti perkara sama juga ingin dihindari rakyat.

Menurut beliau yang juga Menteri Besar Perak, ini kerana rakyat mengharapkan kestabilan pada ketika negara sedang dilanda wabak penyakit dan pada masa sama negara sedang bergelut dengan pemulihan ekonomi.

“Kita harap tidak tukar. Rakyat pun harapkan tidak. Kita pun tak sanggup dah rasanya tunggu depan istana berhari-hari untuk tahu keputusan (tukar kerajaan).

“Ini bukan waktu yang sesuai, sebaliknya kita semua kena bersatu bersama-sama untuk menghadapi musuh paling utama iaitu wabak Covid-19. Ini perang sebenar kita ketika ini,” ujarnya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa depan.

Anwar dalam satu kenyataan akhbar hari ini berkata, Seri Paduka telah memperkenankan permintaannya untuk bertemu dan menetapkan tarikh tersebut.

Pada majlis menghadap tersebut difahamkan beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan membayangkan berlakunya pertukaran kerajaan.

Mengulas lanjut kata Ahmad Faizal, bukanlah sesuatu yang ganjil untuk mana-mana Ahli Parlimen memohon perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong apatah lagi dengan kedudukan Anwar sebagai ketua pembangkang.

“Eloklah jika (Datuk Seri) Anwar hendak berjumpa Yang di-Pertuan Agong, cuma apa agenda semasa pertemuan itu kita tak pasti.

“Sekarang pun bukan masa yang sesuai nak berpolitik, utamakan rakyat. Apabila keadaan kembali tenang dan ada masa sesuai, kembalilah berpolitik,” ujarnya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI