PUTRAJAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melancarkan Pasukan Gerak Cepat (Red Team) bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka berlaku pada penghujung bulan depan.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, penubuhan MTL Red Team bertujuan memantapkan lagi persiapan serta persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan secara lebih efisyen.
Menurutnya, JBPM akan menempatkan pasukan berkenaan di 11 negeri seperti Selangor, Kelantan, Terengganu dan Kedah selain di dua Akademi Bomba dan Penyelamat Malaysia (ABPM) melibatkan Wilayah Tengah serta Wilayah Utara.
“Seramai 253 anggota, 58 unit bot, 41 unit kenderaan utiliti dan 33 lori akan bersedia pada setiap hari di lokasi yang ditetapkan oleh JBPM negeri.
“Komposisi minimum bagi MTL Red Team itu terdiri daripada 12 anggota, dua unit bot penyelamat, satu unit kenderaan utiliti dan sebuah lori bagi tujuan logistik dan penyelamatan serta pemindahan mangsa banjir,” katanya selepas melancarkan MTL Red Team di sini hari ini.
Katanya, pasukan itu turut dianggotai seorang anggota pasukan khas Emergency Medical Response Services (EMRS) dan Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) bagi memastikan operasi penyelamatan berada pada tahap optimum.
“Penubuhan pasukan itu merupakan penambahbaikan kepada Regional Forward Base (RFB) yang sebelum ini ditempatkan di tiga lokasi iaitu ABPM Wilayah Timur, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perda, Pulau Pinang dan BBP Ayer Hitam, Johor.
“Pasukan berkenaan akan bertugas mengikut syif yang ditetapkan dengan masa pusingan tugas sesuatu operasi banjir selama lima hari termasuk perjalanan pergi dan balik,” ujarnya.
Katanya, pihaknya membuat persediaan dengan lebih rapi tahun ini bukan sahaja di kawasan ‘hotspot’ tertentu, tapi turut melibatkan kawasan bukan ‘hotspot’ berkemungkinan berlakunya banjir. – KOSMO! ONLINE