KOTA BHARU – Seramai 70,000 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi sedia digerakkan ke seluruh negara bagi persediaan menghadapi banjir dan musim Monsun Timur Laut.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, jumlah tersebut melibatkan 21,000 daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) (18,500), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) (15,000), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) (10,500) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) (4,400).
Menurutnya, kesemua agensi yang terlibat itu sudah berada dalam mod bersedia sehingga hujung tahun ini.
“Secara keseluruhannya, PDRM mempunyai seramai 120,557 kekuatan termasuk pegawai dan anggota. Kita mungkin memerlukan hampir 80,000 anggota untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) manakala lebih 20,000 lagi anggota untuk bencana.
“Jika banjir berlaku ketika pilihan raya, kita mungkin akan menghadapi kekangan anggota. Oleh itu, PDRM tetap memerlukan bantuan daripada pelbagai agensi yang terlibat,” katanya pada sidang akhbar selepas Taklimat Persediaan PRU15 dan Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, pihaknya telah mengenal pasti sebanyak 5,500 lokasi berisiko banjir dan 186 kawasan yang berkemungkinan berlaku kepala air di seluruh negara.
Menurutnya, pihak kementerian juga telah berbincang mengenai kelengkapan dan logistik untuk menggunakan semua aset yang ada termasuk bot, kereta, lori dan pengangkutan udara.
“Kita akan gabungkan kesemua aset-aset sedia ada dengan semua agensi-agensi yang boleh membantu semasa banjir.
“Sehubungan itu, rakyat diharap dapat memberi kepercayaan sepenuhnya kepada PDRM dan berdoa supaya tidak berlaku bencana besar agar dapat menghadapi PRU15 dengan lebih baik dan aman,” katanya. – KOSMO! ONLINE