MELAKA – Tindakan agresif seorang lelaki warga Bangladesh melarikan diri daripada pemeriksaan polis dan cuba memukul anggota menggunakan topi keledar membawa padah selepas didenda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Majistret Mazana Sinin menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Abser Nurul, 34, yang mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja sebagai buruh binaan didapati dengan sengaja menghalang tugas pihak polis dengan cara melarikan diri daripada pemeriksaan dan cuba memukul polis menggunakan topi keledar.
Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 10.30 malam di hadapan sebuah pasar raya berdekatan terminal bas Melaka Sentral pada 10 Mei lalu.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara boleh sampai dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Difahamkan tertuduh yang ketika kejadian menunggang motosikal jenis Vmoto VE1 bertindak meninggalkan kenderaannya dan melarikan diri bagi mengelak ditahan kerana tidak mempunyai lesen memandu.
Terdahulu, Peguam Umar Zulkarnain yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman berbentuk denda yang rendah diberikan dengan alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari bagaimanapun memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
Selepas mendengar hujah kedua belah pihak, mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE