KOTA BHARU – Kerajaan memutuskan tiada tindakan tegas termasuk menyenarai hitam pelajar yang menjual Peranti Siswa Keluarga Malaysia menerusi platform e-dagang.
Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, kerajaan sebaliknya akan menggunakan kaedah nasihat untuk menyedarkan golongan siswa dan pelajar yang terlibat dalam penjualan peranti tersebut.
Menurutnya, setakat ini, kes melibatkan pelajar yang menjual peranti itu dilihat terpencil, malah bilangan individu yang terlibat juga tidak ramai.
“Golongan muda ini masih dalam proses belajar. Tiada tindakan tegas dikenakan kepada mereka kerana kita akan menggunakan pendekatan yang lebih lembut supaya pelajar dapat mengikuti nasihat yang diberikan.
“Selain itu, bilangan pelajar yang menjual Peranti Siswa juga tidak ramai. Ada antara mereka yang membatalkan hasrat untuk menjual peranti terbabit kerana ia tidak berfungsi apabila aksesnya sudah disekat selepas berpindah pemilik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Kementerian Pengajian Tinggi Prihatin dan Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia Peringkat Negeri Kelantan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) Kampus Pengkalan Chepa di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Annuar berkata, isu tersebut perlu diselesaikan dengan segera, malah tidak perlu dihebohkan kerana golongan siswa merupakan generasi yang mempunyai masa depan yang baik selain mampu menyumbang idea bernas untuk pembangunan negara.
Menurutnya, sehubungan itu, kerajaan berharap pelajar dapat menggunakan Peranti Siswa Keluarga Malaysia dengan baik untuk kaedah pembelajaran dan bukan untuk tujuan lain.
“Kerajaan menyasarkan kesemua peranti itu dapat diagihkan sebelum akhir bulan depan. Pelajar yang layak, namun tidak lagi mendapat bantuan itu boleh membuat rayuan sehingga akhir Disember depan,” katanya.
Kosmo! Online kelmarin melaporkan, kerajaan belum membuat sebarang perbincangan untuk menyenaraihitam pelajar yang bertindak menjual Peranti Siswa Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, perkara itu akan dibincangkan pihak Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
Sebelum ini, tular di media sosial tindakan seorang pelajar dipercayai cuba menjual tablet Samsung Tab A8 yang diberikan secara percuma oleh kerajaan pada harga RM900.
Pelajar terbabit didakwa mahu menukar gajet itu kepada iPad, tetapi tindakannya dikecam orang ramai. – KOSMO! ONLINE